AM > BERITA

Kerani Sekolah Muncul Juara Pertandingan Akhir Pantun Lakon BSN Dan DBP 2024

11/10/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan berlakon mahupun berpantun, percubaan pertama kali yang hanya sekadar suka-suka dan ingin mencuba, akhirnya membawa tuah kepada Ratna Atika Zainal Amin, 33, kerani Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Zulkifli Muhammad, Slim River, Perak. 

Anak kelahiran Tambun (Perak) ini tidak pernah menyangka mahupun menaruh harapan tinggi bahawa lakonannya sebagai Che Tom akan menambat hati juri dan seterusnya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2024 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung malam tadi. 

Berjaya menewaskan lima peserta lain pada pertandingan akhir itu selain turut merangkul kategori Pelakon Terbaik dan Kumpulan Terbaik dengan hadiah keseluruhan bernilai RM6,500, Ratna Atika berkata, dia terdetik untuk menyertai pertandingan itu selepas mengetahuinya dari media sosial. 

“Sebenarnya, saya berlakon dan berpantun secara santai dan mahu menikmati persembahan sahaja. Memang tidak sangka akan menang kerana saingan daripada lima peserta lain juga hebat. Cuma, mungkin pengalaman semasa menyertai aktiviti teater dahulu membantu saya. 

“Semasa belajar di peringkat diploma, saya ada menyertai aktiviti teater. Kali ini, saya cabar diri untuk berlakon dan pada masa sama juga berpantun dan ia betul-betul memberi pengalaman sungguh berbeza,” katanya.

Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2024 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Pertandingan Pantun Lakon yang memasuki edisi kedua tahun ini menggabungkan elemen melafazkan pantun dan melakonkan persembahan berdasarkan skrip yang telah disediakan oleh pihak urus setia.

Sebanyak 41 penyertaan diterima pada peringkat saringan yang berlangsung dari 22 Ogos hingga 15 September secara dalam talian melalui media sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BSN, Zarir Mohd Rawi berkata, program ini bukan sahaja memperkasakan bahasa dan sastera Melayu tetapi juga memperkukuh jaringan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam usaha memperkaya khazanah kebudayaan negara.

“Seiring dengan objektif pertandingan ini, kita dapat melihat bagaimana pantun, yang merupakan warisan seni budaya kita, terus relevan dan dapat menarik minat generasi muda dengan sentuhan moden melalui lakonan pentas.

“Program seperti ini adalah penting untuk mengekalkan kelangsungan bahasa dan sastera Melayu di tengah arus globalisasi yang semakin mencabar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan