AM > BERITA

Kaedah Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia Atasi Denggi Di Kawasan Padat Penduduk

12/10/2024 03:00 PM

MELAKA, 12 Okt (Bernama) -- Penggunaan kaedah kawalan biologi menerusi program pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di kawasan terpilih diharap mampu menjadi kaedah pencegahan terbaik dalam menangani peningkatan kes demam denggi di lokasi padat penduduk di negeri ini. 

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem berkata ini termasuk kawasan Perumahan Tentera Desa Taming Sari di Kem Terendak, Sungai Udang di sini yang kini menjadi salah satu lokasi panas wabak demam denggi apabila mencatatkan tujuh kes setakat Minggu Epid ke-34 pada tahun ini berbanding enam kes tahun lepas. 

"Justeru langkah intervensi segera dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan kawasan Perumahan Tentera Desa Taming Sari terpilih sebagai lokaliti ketiga bagi projek pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Melaka selepas mengambil kira kekerapan kes dan wabak serta struktur bangunan dan geografi di situ," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Kem Terendak Sungai Udang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ruzita Mustafa dan Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian.

Bagi projek di kawasan berkenaan, sebanyak 12,400 ekor nyamuk aedes berwolbachia akan dilepaskan bagi setiap pelepasan yang akan dilakukan bermula 14 Okt ini dan berakhir Nov 2026 depan menerusi 30 kali pelepasan.

Ngwe berharap projek itu akan memberi impak positif seperti dicapai di dua lokaliti sebelum ini iaitu di Taman Bemban Jaya di Jasin yang sehingga kini tiada kes dilaporkan, manakala di Pangsapuri Taman Tasik Utama menunjukkan pengurangan kes yang ketara sebanyak 79 peratus sejak dilaksanakan pada Oktober 2023.

Dalam perkembangan yang sama, Ngwe menjelaskan sebanyak 1,811 kes denggi direkodkan di Melaka bagi Minggu Epid ke-40 yang berakhir pada 5 Okt lepas dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 915 kes atau 102.12 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 896 kes dicatatkan, manakala dua kes kematian dicatatkan setakat ini. 

Angka itu nyata membimbangkan, terutama apabila dua kematian membabitkan pesakit dewasa direkodkan pada awal Mac di Jasin dan Melaka Tengah pada Oktober lepas berbanding tiada kes kematian dilaporkan pada tahun sebelum itu.

"Untuk itu kita mengharapkan sokongan semua pihak terutama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini bagi membantu membawa lokaliti ini keluar daripada masalah demam denggi demi kebaikan penduduk keseluruhannya. 

"Dalam masa yang sama, kaedah pencegahan sedia ada seperti bergotong-royong berkala dan pemusnahan tempat pembiakan perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan tiada lagi tempat pembiakan nyamuk di kawasan persekitaran rumah dan tempat kerja," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan