AM > BERITA

90 Peratus 'Hot Spot' Banjir Dijangka Selesai Tahun Depan - Exco

12/10/2024 06:32 PM

JOHOR BAHRU,12 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menjangkakan sebanyak 90 peratus daripada 102 kawasan hot spot yang mengalami masalah banjir di 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka diselesaikan pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata usaha bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan dilakukan sejak tahun lepas membabitkan tiga fasa dengan keseluruhan peruntukan lebih RM170 juta.

“Peruntukan lebih RM170 juta ini bagi selesaikan masalah banjir di kawasan hot spot bagi tempoh tiga tahun bermula tahun lepas, tahun ini dan tahun depan.

“Tahun lepas, peruntukan kira-kira RM50 juta telah digunakan (projek atasi banjir) membabitkan 119 hot spot dan tahun ini RM50 juta membabitkan 65 lokasi dan selebihnya melibatkan RM70 juta akan digunakan untuk fasa akhir tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Karnival UDA 2024@Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini

Antara kawasan hot spot yang paling banyak dikesan melibatkan daerah di Johor Bahru, Kluang dan Kulai.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri memberikan fokus kepada penyelesaian isu banjir di negeri berkenaan yang antaranya diselaraskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Beliau berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan baru-baru ini juga telah memanggil pelbagai agensi dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memantapkan lagi persediaan banjir.

“Menerusi mesyuarat ini pelbagai perkara dibincang termasuk persediaan kuantiti khemah mangsa banjir dan bekalan makanan. Saya lihat, Johor sentiasa membuat tambah baik dari segi persediaan, memandangkan musim Monsun Timur Laut sudah bermula dan beberapa daerah telah dilanda banjir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan