AM > BERITA

96 Petugas Bernama Sertai Kejohanan Boling Sempena Hari Sukan Negara

13/10/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menganjurkan kejohanan sukan boling yang julung kali dikelolakan Kelab Boling Bernama bersempena Hari Sukan Negara di Wangsa Bowl @ One Utama bagi mengeratkan lagi hubungan antara petugas.

Ketua Pegawai Eksekutif  Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata seramai 96 petugas menyertai aktiviti itu dengan lima kategori dipertandingkan iaitu berpasukan, individu (high series) lelaki dan individu (high series) wanita, individu (high game) lelaki dan wanita dalam acara hari ini.

“Tujuan utama kejohanan boling ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara petugas Bernama. Pada masa ini, boleh dikatakan tidak semua petugas saling mengenali antara satu sama lain kerana kesibukan tugas harian menyebabkan interaksi mereka lebih tertumpu kepada rakan-rakan dalam jabatan masing-masing.

“Oleh itu, kejohanan ini membolehkan semua petugas saling berinteraksi antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Kejohanan Sukan Boling, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kejohanan yang diadakan sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 melibatkan jumlah petugas yang paling ramai berbanding kejohanan lain sebelum ini.

“Saya harap ini jadi platform sesama petugas rapatkan ukhwah dan kita bermain serta bersaing secara sihat…melihat kepada sambutan ini saya percaya tahun depan kita akan adakan lagi,” katanya.

Sementara itu, petugas Bernama Muhammad Adam Jayabalan, 55, berkata dia yang sememangnya aktif menyertai acara sukan boling tidak mengambil masa yang lama untuk mendaftar sebaik penyertaan dibuka baru-baru ini.

"Saya menyertai kejohanan boling ini kerana minat dan ingin bermain bersama rakan-rakan sepejabat. Isteri saya juga merupakan staf Bernama, jadi dia turut serta. Dulu, saya pernah bermain dalam liga Bernama, jadi jika ada aktiviti boling, saya akan turut serta," katanya yang berlatih selama seminggu sebelum pertandingan.

Kejohanan boling kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM4,280 di mana juara kategori berpasukan, membawa pulang wang tunai bernilai RM800.

Pemenang bagi kategori berkumpulan dengan jatuhan pin sebanyak 989 adalah dari kumpulan udang, kategori individu (high series) lelaki, dijuarai oleh Mohd Irwan Mohd Mustaffa (346 jatuhan pin) dan individu (high series) wanita, adalah Maznah Abu Bakar dengan jatuhan pin 319.

Bagi individu (high game) wanita dimenangi Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Azlina Aziz dengan 178 jatuhan pin dan individu (high game) lelaki Auzan Ayub dengan 191 jatuhan pin.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan