AM > BERITA

Rumah Pusaka Rosak Dilanda Banjir

13/10/2024 06:22 PM

BALING, 13 Okt (Bernama) --  Seorang mangsa banjir di Kampung Teluk Rambong di sini hanya mampu berserah dan reda apabila rumah pusaka yang sedang dibaiki rosak teruk selepas dilanda banjir gelombang ketiga malam tadi.

Mohd Naim Asri Baharom, 46, berkata dia baru sahaja memulakan kerja-kerja baik pulih rumah pusaka berusia 40 tahun itu, namun kini terpaksa dihentikan selepas sebahagian besar struktur rumahnya itu musnah akibat banjir.

"Selepas gelombang pertama, jambatan besi yang menjadi laluan untuk keluar masuk ke rumah saya dihanyutkan arus deras tapi penduduk kampung telah bergotong-royong membina jambatan alternatif.

"Dalam kejadian banjir sebelum ini, rumah cuma masuk lumpur tapi banjir malam tadi menyebabkan dinding dan bumbung rumah saya roboh selain pasir dan selut penuh dalam rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Menceritakan kembali kejadian malam tadi, Mohd Naim Asri berkata ketika itu dia berada di rumah jiran yang terletak tidak jauh dari kediaman yang dihuninya seorang diri.

"Hujan lebat mula turun pada 5 petang semalam disertai angin kencang dan kira-kira 7 malam banjir mula melanda. Saya jengah ke arah rumah saya dan sekejap saja air sudah mencecah bumbung.

"Dalam kegelapan saya nampak bahagian hadapan rumah runtuh dan bila air kembali surut sekitar 9 malam, saya tengok keadaan rumah dah rosak teruk," katanya.

Mohd Naim Asri berkata dia kini memikirkan untuk mencari kawasan lain untuk membina rumah baharu memandangkan lokasi sekarang sudah tidak selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan