AM > BERITA

MADA Sentiasa Pantau Paras Air Empangan

13/10/2024 07:38 PM

ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sentiasa melaksanakan pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi berkaitan jika limpahan air di empangan mencapai paras bahaya berikutan hujan lebat kebelakangan ini. 

MADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Keselamatan Empangan MADA bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sekiranya air tadahan empangan menunjukkan peningkatan. 

"Paras air takungan Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh 330 kaki (100.59 meter) pada 10.30 malam semalam dan meningkat ke paras 331.8 kaki (101.13 meter) dengan kadar alir limpahan sebanyak 2,301 kaki padu sesaat (65.16 meter padu sesaat). 

"Limpahan ini mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan tidak akan memasuki kawasan sawah. MADA telah memberi maklumat awal kepada pihak terlibat berhubung kedudukan semasa takungan Empangan Muda serta limpahan yang berlaku,” menurut kenyataan itu. 

MADA memaklumkan, hujan lebat sejak beberapa hari lepas meningkatkan paras takungan dan secara puratanya hujan di tadahan Empangan Pedu, Muda dan Ahning masing-masing sebanyak 67 milimeter (mm), 130 mm dan 47 mm.

"Setakat semalam, status keseluruhan kedudukan semasa takungan empangan di bawah seliaan MADA bagi ketiga-tiga empangan adalah 62.95 peratus. 

"Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah 50.77 peratus, Empangan Muda 97.34 peratus dan Empangan Ahning 91.46 peratus," menurut MADA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan