AM > BERITA

Banjir Berlaku Awal Daripada Kebiasaan - Penduduk Temerloh

14/10/2024 04:43 PM

TEMERLOH, 14 Okt (Bernama) -- Penduduk daerah ini dikejutkan dengan kejadian banjir yang berlaku lebih awal berbanding kebiasaan iaitu pada penghujung November hingga Disember.

Penduduk Kampung Batu Kapor di sini Idham Halid Mohd Yusof, 57, berkata dia tidak menjangkakan  banjir ‘tiba’ pada pertengahan Oktober sehingga mereka sekeluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata air mula memasuki pekarangan rumahnya sekitar 5.30 pagi tadi dan dia bersama isteri Nurul Huda Said, 55, bergegas memindahkan perkakas elektrik dan barang berharga ke tempat lebih selamat.

“Sebelum ini tidak pernah banjir berlaku pada Oktober sebab selalu pada Disember memang tak sangka dan terkejut banjir kali ini awal sangat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nurul Huda berkata kali terakhir mereka dilanda banjir teruk pada 2021 apabila paras air sehingga mencecah bumbung rumah yang mereka sudah diami lebih 30 tahun lepas.

“Kali ini air mula masuk di bahagian dapur dan kami terus kemas barang sebab tak mahu peristiwa banjir tiga tahun lepas berlaku lagi yang mana banyak barang tidak dapat digunakan lagi dan perlu membeli yang baharu,” kata suri rumah itu.

Idham Halid dan Nurul Huda ditemui ketika pasangan suami isteri itu sedang memindahkan tiga ekor kuda padi peliharaan mereka ke kawasan tinggi ekoran bimbang kandang haiwan berkenaan ditenggelami air.

Peniaga kedai makan Sharuddin Mohd Shafie, 52, pula berkata dia bersama keluarga telah berpindah ke PPS malam tadi akibat air naik mendadak. 

“Selalunya banjir pada Disember atau November tetapi kali ini awal daripada kebiasaan. Air di rumah saya mencecah paras lutut dan kami telah diarahkan berpindah segera ke PPS,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Penduduk Kampung Bongsu, Lanchang Norizan Mohamed, 49, berkata banjir kali ini berlaku di luar jangka kerana kebiasaannya penduduk kampung itu berhadapan dengan bencana berkenaan pada hujung tahun atau Januari. 

“Banjir ini memang tak tentu, tapi kali ini pada Oktober yang kami semua memang tak jangka dan terpaksa berpindah ke PPS  tengah malam semalam atas faktor keselamatan,” katanya yang juga peguasaha warung makanan. 

Sementara itu, pesara Izhar Ibrahim,60, berharap masalah banjir yang berlaku saban tahun ini diatasi segera oleh kerjaaan negeri kerana bencana itu mengakibatkan kerugian besar kepada penduduk.

Tinjauan Bernama mendapati tanah perkuburan Islam Kampung Batu Kapur di sini sudah ditenggelami air selain penduduk sedang mengemaskan barangan mereka sebelum berteduh di PPS.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 856 mangsa banjir daripada 244 keluarga telah ditempatkan di lima PPS di daerah ini setakat 3.30 petang.

Monsun Timur Laut 2024/2025 sebelum ini dijangka bermula pada November 2024 dan berterusan hingga Mac 2025 dengan ramalan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan