AM > BERITA

Kerajaan Sarawak Belanja RM601 Juta Untuk 17 Projek Pembaharuan Bandar -- Awang Tengah

14/10/2024 06:21 PM

KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri memperuntukkan RM601 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi melaksanakan 17 projek Pembaharuan Bandar di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata projek-projek yang terletak di Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Lawas itu kini berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan.

“Ia merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak berdasarkan kepada pembangunan mampan dan perancangan seimbang bagi menjamin kualiti hidup masyarakat selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar ke arah Sarawak Maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Surat Hakmilik Tanah dan Kunci Rumah bagi Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Pulo Ulu di sini hari ini, beliau berkata Projek Pembangunan Darul Hana di bandar raya ini merupakan projek perintis bagi inisiatif berkenaan.

“Proses pembangunan Darul Hana telah dirancang dengan teliti dan mengambil kira keperluan-keperluan mendesak penduduk-penduduk kampung bagi membolehkan objektif dan impak positif projek ini dicapai,” katanya.

Awang Tengah berkata sehingga 30 Sept lepas, 564 unit rumah telah siap dibina di projek Darul Hana ini untuk KIR daripada tiga kampung dan lot-lot di sekitar Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Demak di sini. 

“Di samping itu, 94 unit rumah sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada 2026, manakala 1,545 unit telah dirancang dalam RMK13 dan 418 unit dalam RMK14, menjadikan keseluruhan unit sebanyak 2,621,” katanya.

Selain itu beliau berkata kerajaan Sarawak turut mengambil kira keperluan memiliki rumah sendiri oleh Ketua Keluarga Tambahan (KKT) iaitu keluarga-keluarga lain yang tinggal bersama atau menumpang dengan KIR di rumah kampung sebelum ini.

Beliau berkata di bawah polisi projek Pembaharuan Bandar, KIR yang mempunyai KKT dan memenuhi kelayakan akan ditawarkan untuk membeli rumah di penempatan Sungai Bedaun (di Jalan Santubong) yang melibatkan pembinaan sebanyak 426 unit rumah.

“Setakat ini 209 unit rumah telah siap dan 115 unit daripada jumlah tersebut telah diagihkan kepada KKT. Manakala, baki selebihnya (94 unit) dalam proses tapisan untuk ditawarkan pembelian kepada KKT yang layak,” katanya.

Awang Tengah seterusnya mengumumkan sejumlah RM75.7 juta untuk membayar pampasan kepada pemilik-pemilik 125 lot tanah dari Kampung Pulo Ulu bagi projek Pembangunan Darul Hana ini, selain menyerahkan surat hak milik tanah dan kunci rumah kepada mereka.

“Ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Sarawak sangat prihatin dalam memastikan penduduk-penduduk kampung yang terlibat menerima pampasan yang sewajarnya termasuklah menerima surat hakmilik tanah dengan rumah disediakan di persekitaran yang lebih baik daripada sebelum ini,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan