EKONOMI > BERITA

Sistem CIDBH - iENTRY Tingkat Pengurusan Pekerja Asing Pembinaan

14/10/2024 09:59 PM

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini melalui anak syarikatnya CIDB Holdings Sdn Bhd melancarkan Sistem CIDBH - iENTRY bagi meningkatkan pengurusan pekerja asing dalam industri pembinaan.

Dalam kenyataan hari ini, CIDB memaklumkan ia juga bertujuan memperkenalkan penggunaan sistem bersepadu dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan kebajikan dan keselamatan pekerja asing berkemahiran.

“Antara ciri utama sistem ini adalah menguruskan pendaftaran pekerja asing melalui sistem biometrik selepas mereka menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) di negara sumber yang diperakui serta disahkan oleh CIDB dan pemantauan kebajikan pekerja asing secara holistik termasuk pengurusan penginapan mereka,” kata CIDB.

Selain itu, ia juga memudahkan majikan dalam mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

CIDB berkata dengan pelaksanaan Sistem CIDBH - iENTRY, pemantauan pekerja asing dan pematuhan perundangan akan menjadi lebih efektif, sekali gus memastikan kesejahteraan dan keselamatan pekerja asing terjamin.

Di samping itu, sistem itu turut membantu kerajaan menangani isu pekerja asing tidak bertauliah dengan memastikan hanya pekerja yang memiliki persijilan sah dibenarkan bekerja di tapak bina dan secara tidak langsung mengurangkan risiko keselamatan di tapak pembinaan.

Mengikut rekod CIDB, terdapat seramai 465,591 pekerja asing pembinaan yang berdaftar dengan CIDB di seluruh negara sehingga September 2024, manakala di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja, masing-masing mencatatkan bilangan seramai 150,699 dan 166,456.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sistem itu bermanfaat dalam mengemas kini rekod pekerja asing selain pendataan mereka dapat dipantau dan dilaporkan dengan tepat kepada kerajaan. 

"Sistem ini juga dapat memantau hal ehwal kebajikan mereka secara holistik dan menangani isu pekerja asing akan tamat tempoh pas lawatan kerja sementara (PLKS), tinggal lebih masa, pemantauan rekod kesihatan, tempat tinggal, isu sosial serta kebajikan selain membantu majikan.

"Melalui sistem ini, pengurusan pekerja asing akan lebih teratur dan lebih baik serta dapat mengangkat imej Malaysia sebagai sebuah negara yang prihatin dan patuh kepada standard terbaik untuk menempatkan pekerja asing," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini. 

Nanta berkata walaupun belum diwajibkan, KKR amat menggalakkan majikan menggunakan sistem itu selain mengalu-alukan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya. 

Merujuk kepada rekod Jabatan Imigresen setakat 15 Mac lepas, Nanta berkata terdapat 2.17 juta pekerja asing di Malaysia dengan 465,591 daripadanya bekerja dalam sektor pembinaan dan berdaftar dengan CIDB.

“Ratusan ribu pekerja ini seperti kita yakni manusia yang mencari rezeki. Bezanya, mereka bekerja di tanah asing. Sungguhpun begitu kerajaan tidak memandang ringan kebajikan mereka dan atas dasar itu KKR melancarkan sistem CIDBH-I ENTRY,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan