AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Perak, Pahang Meningkat, Kedah Dan Melaka Menurun Pagi Ini

15/10/2024 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak dan Pahang terus mencatatkan peningkatan pada pagi ini, manakala di Kedah dan Melaka merekodkan penurunan.

Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 1,682 orang daripada 528 keluarga pagi ini di lima daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Muallim dan Hilir Perak yang berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan keadaan banjir masih belum surut.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan satu PPS di Muallim telah ditutup pada 8 pagi tadi iaitu Dewan Kampung Batu 4, namun 596 mangsa daripada 157 keluarga di daerah itu masih berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim dan SK Slim River.

“Bagaimanapun pada 9 malam tadi, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Hilir Perak telah dibuka yang kini menempatkan 38 mangsa daripada 14 keluarga,” menurut kenyataan sekretariat itu.

Di Kuala Kangsar, jumlah mangsa meningkat kepada 720 orang daripada 255 keluarga masih berlindung di tiga PPS iaitu SK Lasah, Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah.

Di Hulu Perak pula, jumlah mangsa meningkat kepada 224 orang daripada 68 keluarga yang berlindung di PPS SK Kerunai dan SK Pahit, manakala jumlah mangsa di Kerian kekal 104 orang daripada 34 keluarga dengan mangsa masih ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir di Temerloh meningkat pagi ini selepas 1,282 mangsa daripada 373 keluarga ditempatkan di enam PPS, berbanding 1,247 orang daripada 360 keluarga yang berlindung di lima PPS semalam.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan SMK Seri Semantan menempatkan 618 orang, manakala SK Desa Bakti (566), SK Lanchang (36), Balairaya Mempateh (30), Masjid Kampung Bongsu (20) dan 12 orang di SK Mentakab.

Sementara itu, di KEDAH, jumlah mangsa di empat daerah yang terjejas banjir terus berkurangan kepada 1,490 orang daripada 482 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,561 orang daripada 501 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa ditempatkan di 12 PPS, dengan daerah Baling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 682 orang daripada 242 keluarga di lima PPS.

“Di daerah Pendang terdapat 385 orang daripada 104 keluarga di dua PPS, Kota Setar seramai 385 orang daripada 121 keluarga di empat PPS dan Pokok Sena 38 orang daripada 15 keluarga di satu PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 212 orang melibatkan 70 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 243 orang melibatkan 81 keluarga pada 8 malam tadi.

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas yang merupakan penduduk Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya, kini ditempatkan di empat PPS iaitu SMK Dang Anum, SK Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan