172 Pangkalan Haram Dadah Dikesan Di Sungai Golok - Bukit Aman

15/10/2024 02:36 PM

KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 172 pangkalan haram berkaitan penyeludupan dadah di sepanjang Sungai Golok, Thailand-Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata Pasir Mas dan Tumpat merekodkan bilangan pangkalan haram paling tinggi dan aktif.

Beliau berkata jumlah pangkalan itu sentiasa berubah berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggota polis di sempadan.

“Sebagai contoh, jika kita tumpu di pangkalan haram di kawasan ini (Pasir Mas dan Tumpat) yang ditutup sementara dan mereka (ahli sindiket) akan membuka pangkalan haram lain,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Khaw berkata Pasir Mas dan Tumpat merupakan kawasan ‘panas’ memandangkan bersempadan dengan Thailand dan diberikan tumpuan yang lebih oleh PDRM bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, PDRM juga memperketat kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan bekalan dadah.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kemasukan dadah jenis fentanyl di negara ini, Khaw mengesahkan tiada sebarang kemasukan dadah jenis berkenaan dikesan dalam negara setakat ini.

"Hasil risikan JSJN dan maklumat juga mendapati dadah berkenaan tidak wujud dalam negara dan rampasan juga tiada setakat ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan