AM > BERITA

Air Pasang Besar Di Hilir Perak, Bagan Datuk Bermula Hari Ini

15/10/2024 12:36 PM

IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Okt dengan paras air tertinggi antara 3.1 meter (m) hingga 3.4 m melibatkan daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak dalam kenyataan di laman Facebook menasihati orang ramai untuk sentiasa peka, berhati-hati dan membuat persediaan awal menghadapi banjir berdasarkan ramalan oleh agensi-agensi berkaitan.

Menurut JPS Daerah Hilir Perak, kejadian fenomena air pasang besar kali ini dijangka pada skala yang lebih besar berbanding bulan lepas dengan keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya angin kencang, ombak besar dan hujan lebat berlaku secara serentak yang boleh menyebabkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).

Kawasan berisiko tinggi di Hilir Perak adalah di Taman Karentina, Batak Rabit, Pekan Teluk Intan, Kampung Bahagia, Changkat Jong, kawasan Mukim Sungai Durian dan kawasan berdekatan sungai.

Bagi daerah Bagan Datuk pula, kawasan berisiko tinggi ialah Mukim Rungkup, Mukim Bagan Datuk, Mukim Teluk Bharu, Mukim Sungai Durian, Sungai Samak, Sungai Manila, Kampung Banang, kawasan Hutan Melintang dan kawasan berdekatan sungai serta pantai.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku secara serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat yang selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan