AM > BERITA

Pesawah Kelantan Mahu Harga Lantai Belian Padi Dinaikkan RM1,600 Satu Tan

15/10/2024 03:33 PM

BACHOK, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) mahu harga lantai belian padi semasa dinaikkan kepada RM1,600 satu tan seiring kenaikan harga input pertanian.

Pengerusi Pesak Zuha Ismail berkata harga lantai belian padi semasa RM1,300 satu tan tidak lagi seiring kos penanaman padi kira-kira RM5,580 sehektar.

"Pada harga semasa, pesawah hanya meraih pendapatan sekitar RM5,200 sehektar sedangkan kos penanaman melebihi jumlah itu kerana harga benih padi yang sebelum ini RM35 bagi satu guni 20 kilogram telah naik kepada RM58 selain racun serangga, upah bajak, sewa tanah, upah mesin tuai dan kos lain juga meningkat," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman menggesa harga belian padi dikaji semula bersama 30 pesawah di Kampung Kubang Telaga di sini hari ini.

Zuha berkata pesawah sebenarnya tidak memperoleh keuntungan daripada jualan padi melainkan hasil daripada subsidi jualan padi kerajaan RM1,250 sehektar.

Beliau berkata subsidi diesel juga hanya diperolehi sebilangan kecil pesawah manakala sebahagian besar yang lain terpaksa membeli bahan bakar itu pada harga pasaran.

"Kebanyakan jentera pembajak pesawah tidak mempunyai geran atau cukai jalan menyebabkan golongan itu tidak dapat memohon subsidi diesel.

"Kita harap kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengkaji semula kaedah penyasaran subsidi ini dengan meneliti masalah pesawah," katanya.

Zuha berkata beliau khuatir petani tidak lagi berminat mengusahakan sawah mereka yang akhirnya akan menjejaskan keterjaminan makanan negara.

"Malah, sekarang pun sudah ada pesawah yang menjual jentera pembajak bagi menampung keperluan keluarga kerana hilang pendapatan selepas dua musim tidak mengusahakan tanaman padi.

"Berikutan peningkatan kos dan beberapa kekangan lain termasuk masalah bekalan air yang belum berkesudahan menyebabkan hanya 30 peratus daripada lebih 7,000 pesawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menanam padi pada musim ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan