AM > BERITA

Belanjawan 2025: Kastam Harap Peruntukan Bagi Aset Jabatan, Kemudahan Digital

16/10/2024 02:34 PM

SEPANG, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berharap Belanjawan 2025 menyentuh peruntukan bagi aset seperti mesin pengimbas, bot marin dan kamera badan (BWC) bagi memantapkan peranan dan bidang kuasa agensi itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau berkata JKDM juga berharap peruntukan itu meliputi aset  digital yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memandangkan sebahagian besar pegawai kastam akan bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) kelak.

“Satu pertiga daripada kekuatan kita akan ke sama (MCBA) jadi kita memerlukan lebih banyak aset AI untuk mengimbangi modal insan. Menuju ke depan, ini lebih kepada penggunaan digital,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat ini.

Mengulas mengenai MCBA, beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ berhubung penugasan anggota JKDM di agensi itu.

“Kini difahamkan dalam proses pewartaan (MCBA), kita akur dan akan bekerjasama penuh kepada entiti tersebut,” katanya.

Bagi fasa pertama, beliau berkata seramai 5,117 anggota JKDM akan bertugas di MCBA.

MCBA (sebelum ini dikenali sebagai agensi tunggal sempadan negara (SBA)) merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasakan tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara dan mengurangkan ketirisan hasil.

Ia juga bagi meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Anwar mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang bertujuan menubuhkan MCBA diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai dan di Dewan Negara pada 1 Ogos.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan