AM > BERITA

Rejimen Renjer Diraja: Raja Perlis Harap Usaha Pembangunan Sumber Manusia Diberi Fokus

16/10/2024 04:16 PM

KANGAR, 16 Okt (Bernama) -- Usaha pembangunan sumber manusia merangkumi kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran, wajar diberikan fokus oleh pihak pengurusan tertinggi Kor Rejimen Renjer Diraja, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

Baginda bertitah kepimpinan kor hendaklah mengambil pendekatan dengan penuh iltizam bagi menyediakan pelan reformasi terhadap penyediaan warga kor yang mampu mengadaptasi keperluan melaksanakan tugas iaitu mencapai standard yang sewajarnya (fit for purpose).

"Bermula dari proses pemilihan, latihan mahupun perkembangan kerjaya, penekanan haruslah berasaskan kepada tahu mengapa (know why) dan tahu bagaimana (know how).

“Saya yakin dan percaya hasrat kor ini untuk terus berdiri megah sebagai satu elemen tempur di bawah kerangka Angkatan Masa Hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus dapat menjadi kenyataan,” titah baginda pada Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama dan Kedua Rejimen Renjer Diraja di Kem Bukit Cowder dekat sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis yang juga Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja bertitah Rejimen Renjer Diraja merupakan entiti pertahanan negara yang amat rapat dengan baginda sejak 25 tahun lepas.

Baginda bertitah bahawa baginda peka kertas putih pertahanan yang diterbitkan sejak lima tahun lepas merupakan satu usaha bersepadu kerajaan dalam mengukuhkan pertahanan negara.

"Antara strategi yang diberikan penekanan adalah membina Angkatan Masa Hadapan yang mengambil kira keperluan semasa. Hal ini memerlukan transformasi kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas terhadap pelbagai bentuk ancaman.

"Justeru, sejajar dengan keperluan kor elemen tempur, transformasi menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera. Ingin saya tekankan bahawa, hasrat murni untuk membawa transformasi ini hendaklah bersandarkan kepada konsep keseimbangan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pembangunan dan perolehan kelengkapan terkini perlu bergerak seiring dengan pembentukan pemikiran setiap warga iaitu dalam erti kata lain 'peralatan kelas pertama perlu diiringi dengan mentaliti kelas pertama'. 

Perbarisan itu terdiri daripada satu detasmen kompeni pengiring dan tiga detasmen kompeni pengawal dengan kekuatan seramai 31 Pegawai dan 378 anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Leftenan Kolonel Salrafeehasleizad Salih dan Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja Leftenan Kolonel Ahmad Faizal Abdul Latif.

Ia turut diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Mejar Abdul Aziz Abdullah dan Kapten Mohd Fahmi Harun dengan dibantu Band Sarjan Mejar Pegawai Waran 2 Jesson Shuaib dan Drum Mejar Pancaragam Staf Sarjan Shafie Adenan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan