AM > BERITA

Pindaan Berhubung Kewarganegaraan Bukti Kesungguhan Kerajaan Madani Lakukan Reformasi

16/10/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Usaha meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan mencerminkan kesungguhan politik Kerajaan MADANI untuk melakukan reformasi, menunaikan janji dalam manifesto, membetulkan kesalahan dan menghentikan ketidakadilan terhadap para ibu dan anak mereka selama bertahun-tahun.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata komitmen kerajaan dibuktikan dengan membawa usul pindaan itu dan telah dihantar ke Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat untuk dikaji dan mendapatkan pandangan semua ahli Parlimen.

“Pindaan ini suatu naskhah yang holistik. Tiada ruang penolakan berdasarkan perundangan dan garis panduan sekiranya seseorang itu mencukupi syarat dan kelayakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu antaranya memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Hannah berkata pindaan itu juga selaras dengan manifesto gabungan politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segambut menerima 97 permohonan berhubung kewarganegaraan dan daripada jumlah itu, 41 diluluskan, 14 dengan status selesai, 12 ditolak dan 30 permohonan sedang diproses.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) turut menyambut baik pindaan itu yang memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara dengan ibunya merupakan warga Malaysia.

"Saya bersetuju dengan pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak dalam kategori ini, hanya untuk satu generasi sahaja," katanya.

Beliau berkata perkara itu dilihat sebagai suatu mekanisme kawalan penting untuk memastikan kelonggaran kepada hak kewarganegaraan yang diberikan menerusi pindaan itu tidak disalahgunakan.

"Saya percaya kita sebagai rakyat yang setia kepada negara tidak mahu suatu masa nanti, wujud generasi warga Malaysia melaksanakan hak-hak sebagai warganegara termasuk hak mengundi dalam pilihan raya tetapi seumur hidupnya tinggal di luar negara dan tidak menumpahkan taat setia kepada Malaysia," katanya.

Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut memuji komitmen dan iltizam politik kerajaan dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan menerusi pindaan berkenaan memandangkan isu itu telah berpanjangan sejak sekian lama. 

Beliau turut memuji tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam menyelesaikan kes-kes tertunggak berkaitan kewarganegaraan dalam tempoh sebelum pindaan itu dibawa dan dibincangkan di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkata pindaan itu bakal mengangkat dan memartabatkan golongan wanita khususnya wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara.

“Kini dengan pindaan ini, statusnya akan dikembalikan dan akan dapat layanan adil, pindaan ini saya sokong 100 peratus," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan