Imigresen Sabah Tahan Lebih 150 Individu Dalam Operasi Di Semporna, Lahad Datu

16/10/2024 05:45 PM

LAHAD DATU, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 149 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dan dua warga tempatan dipercayai majikan mereka dalam serbuan di sekitar Lahad Datu dan Semporna sejak Selasa lepas hingga 4.30 pagi tadi.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata semua warga asing berumur antara setahun hingga 79 tahun itu ditahan selepas pihaknya memeriksa kira-kira 200 individu dalam serbuan di beberapa penempatan haram serta penempatan pekerja kuari dalam operasi berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dua warga tempatan dipercayai majikan yang melindungi pendatang haram itu akan disiasat di bawah Seksyen 56(i)(d),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu dalam Ops Mahir di Semporna, Sh Sitti Saleha berkata pihaknya menahan tujuh warga China dan empat warga Thailand berumur 18 hingga 55 tahun di sebuah tapak pembinaan di Pulau Gelam Gelam kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1969.

Beliau berkata warga China yang ditahan disyaki menyalah guna pas lawatan sosial mereka untuk bekerja di tapak pembinaan di pulau berkenaan.

“Pihak Imigresen sedang berusaha mengesan majikan dan pemilik premis terlibat untuk disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya yang menambah kesemua tahanan itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan