AM > BERITA

Cuti Anggota, Pegawai Bomba Di Melaka Dibeku, Siapsiaga Hadapi Musim Tengkujuh

17/10/2024 03:42 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Cuti kira-kira 500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dibekukan sebagai persediaan agensi tersebut menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut. 

Pengarah JBPM Negeri Mohd Pisar Aziz berkata langkah itu diambil bagi memastikan agensi penyelamat itu berada pada tahap optimum untuk menghadapi sebarang bencana, terutama banjir yang sering berlaku pada hujung tahun.

"Untuk itu aspek keanggotaan amat diperlukan untuk mereka sentiasa berada di lapangan, seperti amalan biasa sebelum ini, dan kita sudah mula tidak membenarkan petugas untuk bercuti," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan negeri Jamsari Mariman.

Mohd Pisar berkata pihak bomba akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di beberapa lokasi ‘panas’ sering terlibat banjir di negeri itu ketika ini terutama ketika hujan, antaranya di Lubok Cina dan Sungai Siput di Alor Gajah; Sungai Putat di Melaka Tengah; dan Merlimau di Jasin.

Sementara itu mengulas mengenai Pasukan Bomba Junior, beliau berkata pihaknya menyasarkan 11 sekolah rendah menubuhkan pasukan berkenaan tahun ini selepas ia mula diperkenalkan Januari lepas. 

Beliau berkata sehingga kini enam sekolah rendah yang telah menubuhkan Pasukan Bomba Junior terdiri daripada SK Bachang, SK Tanjung Minyak 2, SK Tun Razak Bukit Katil, SK Rumbia, SK Parit Melaka dan SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, yang melibatkan penyertaan 308 murid. 

Mohd Pisar berkata inisiatif itu diambil bagi mendidik murid menghayati dan mengamalkan ilmu kebombaan di peringkat awal, memupuk budaya keselamatan kebakaran, memberi kesedaran tentang bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan di peringkat awal.

"Kaedah pelaksanaan latihan akan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan kemudahan yang ada seperti di kasawan sekolah, balai bomba dan penyelamat yang berhampiran.

"Selain itu mereka ini juga diterapkan dengan modul asas kawad kaki, pertolongan cemas dan bantuan pernafasan (CPR), ikatan dan simpulan serta keselamatan aktiviti di air," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan