SUKAN > BERITA

Josiah Cabar Amarjit Bawa Sukan Berbasikal Negara Ke Tahap Lebih Tinggi

17/10/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- "Apa misinya?" "Mana visi 10 tahun" "Mana rangka tindakan?"

Itu antara persoalan diajukan atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng kepada Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang baharu Datuk Amarjit Singh.

Josiah menggesa Amarjit untuk membangunkan satu rangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan telus bagi pelan jangka masa panjang ke arah memperkukuh persekutuan dan pelumba basikal negara.

Beliau mencadangkan agar Amarjit melihat kepada kuasa besar sukan itu seperti Jepun yang memiliki persekutuan yang kuat dan sentiasa konsisten dalam menghasilkan pelumba bertahap tinggi.

"Kita perlu melihat kepada negara-negara yang cemerlang seperti Jepun dan lihat apa rangka tindakan mereka untuk kejayaan. Jika saya Amarjit, saya akan mendapatkan nasihat daripada negara-negara ini dan bangunkan rangka tindakan yang sesuai untuk Malaysia.

"Rangka tindakan itu perlu dibuat dengan baik. Saya harap beliau (Amarjit) boleh hasilkan satu rangka tindakan yang telus dan tunjukkan pada semua orang bahawa inilah hala tuju ke arah kejayaan. Jika beliau serius, beliau akan datangkan satu pelan yang komprehensif," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Josiah, bagaimanapun, yakin bahawa Amarjit, dengan latar belakang dan pengalaman dalam perundangan sebagai ahli jawatankuasa pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN, mempunyai kepakaran untuk membantu PKBM mengatasi cabarannya sekian lama.

Pemenang emas tiga kali Kejohanan Asia itu berharap Amarjit akan membawa pandangan dan gaya kepimpinan yang segar memandangkan persekutuan itu telah mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai potensinya.

“Kepimpinan Amarjit sesuatu yang baik kerana kita memerlukan (seseorang yang mempunyai) mentaliti lebih muda untuk mengemudi perjalanan yang mencabar. PKBM bukanlah satu organisasi yang kukuh dan mempunyai kelemahan. Saya harap Amarjit dapat membawa persekutuan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Josiah turut mengingatkan bahawa kebergantungan Malaysia kepada hanya beberapa pelumba seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang telah merencatkan pembangunan sukan itu. 

Sabtu lepas (12 Okt) Amarjit dilantik sebagai Presiden PKBM selepas memperoleh 35 undi menewaskan Yunus Ibrahim (23 undi) dalam pertandingan tiga penjuru pada Mesyuarat Agung Khas bagi penggal 2023-2026 di Melaka.

Kerusi Presiden PKMB kosong selepas Datuk Abdul Samah Abd Wahab yang memegang jawatan itu sejak 1990 meninggal dunia pada 28 Nov lepas akibat kanser.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan