AM > BERITA

Bernama Serah Sumbangan Kepada Keluarga Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar

17/10/2024 06:07 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyerahkan sumbangan kepada keluarga bekas Editor Video Astro AWANI Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar Nordin, 36, yang maut dalam satu kemalangan jalan raya, pada Isnin.

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin di kediaman Allahyarham di Taman Paya Rumput Perdana, Cheng di sini hari ini.

Nur-ul Afida berkata sumbangan tersebut diserahkan kepada isteri Allahyarham, Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, yang bertugas sebagai Penolong Pengurus, Bahagian Pentadbiran dan Fasiliti Bernama.

“Pada hari ini saya mewakili Tabung Kasih@HAWANA menyampaikan sumbangan kepada Nur Farah Hanna, selain sumbangan daripada Tabung Kebajikan Bernama dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita).

“Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar merupakan bekas petugas Bernama TV sebelum ini dan selepas itu beliau bertukar ke Astro AWANI, dan semestinya kejadian yang menimpa Nur Farrah Hanna ini amat mengejutkan dan menyedihkan kami, kerana beliau baharu sahaja bersalin anak lelaki kedua berusia sembilan bulan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif dan Pengurus Sumber Manusia Marzukhi Md Salleh.

Nur-ul Afida berkata Bernama akan membantu Nur Farah Hanna terutama dalam memberi khidmat nasihat dalam membuat sebarang tuntutan berkaitan kematian Allahyarham suaminya, bagi membolehkan keluarga mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kami amat bersimpati dan mendoakan agar Nur Farah Hanna agar terus kuat dan tabah untuk anak-anaknya,” katanya.

Sementara itu, Nur Farah Hanna berkata beliau terharu dengan sokongan dan bantuan diterimanya sejak hari pertama Allahyarham suaminya meninggal dunia.

“Saya sangat bersyukur dan saya mewakili arwah suami mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang membantu dari hari pertama hingga hari ini,” katanya.

Pada Isnin, dalam kejadian kira-kira 7.09 pagi, Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar yang mesra disapa Randy, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri akibat jalan licin di Kilometer 8.5, Lebuhraya Maju Ekspres (MEX).

Akibat kemalangan itu, Allahyarham terjatuh atas jalan dan terkena tiang penghadang besi dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Allahyarham meninggalkan isteri Nur Farrah Hanna serta dua anak lelaki Noah Anaqi, 5, dan Nael Azraf, sembilan bulan.

Ahmad Hafiz Azhar juga terlibat dalam kerja-kerja sukarela bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan menyandang pangkat Leftenan Muda Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan