AM > BERITA

UDA, Bank Islam Jalin Kerjasama Perkasa Pembangunan Hartanah, Kelestarian Alam Sekitar

19/10/2024 08:19 AM

KEPALA BATAS, 18 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkasakan pembangunan hartanah dan mempergiat inisiatif kelestarian alam sekitar menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) di sini hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany berkata kerjasama itu membolehkan Bank Islam menyediakan pembiayaan komprehensif merangkumi perumahan dan komersial, pembelian panel solar dan pengecas dinding kenderaan elektrik (EV) atau penyelesaian tenaga boleh diperbaharui lain yang berkaitan.

Beliau berkata kerjasama juga membolehkan pembiayaan kos pengubahsuaian, pembelian perabot serta kelengkapan manakala kolaborasi strategik antara UDA dengan Bank Islam selari dengan matlamat kelestarian UDA iaitu memperkasakan gaya hidup lestari dengan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam. 

“Inisiatif ini turut menterjemahkan komitmen UDA dalam mengimbangi aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar serta menyokong aspirasi kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050.

“Melalui usaha sama ini juga, UDA berpeluang meluaskan pemasaran rangkaian produk hartanah kediaman dan pada masa yang sama memperkenalkan pakej pembiayaan perumahan serta pembiayaan tambahan Bank Islam kepada bakal pembeli,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UDA pada Majlis Penandatanganan MoU di Bertam di sini hari ini.

UDA diwakili Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulannya Noor Azmi Salleh manakala Bank Islam diwakili Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan Zamree Mohamed.

Mohd Salem juga berharap MoU yang dimeterai akan memanfaatkan kedua-dua pihak sekali gus merancakkan sektor pembangunan hartanah yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara seterusnya menuju ke arah pemerkasaan Ekonomi MADANI.

Sementara itu, Noor Azmi berkata jalinan kerjasama antara UDA dan Bank Islam dapat memenuhi tiga daripada sembilan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang sedang dilaksanakan oleh UDA iaitu Matlamat Tenaga Bersih dan Berpatutan; Matlamat Bandar dan Komuniti Mampan; dan Matlamat Tindakan Memerangi Perubahan Iklim.

Beliau berkata kerjasama juga bertepatan dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE ‘Legasi (Legacy)’, ‘Integrasi (Integrated)’, ‘Ketelitian (Finesse)’ dan ‘Memperkasa (Enrich)) yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan bagi meneruskan legasi UDA dengan menumpukan kepada pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.

“Kolaborasi ini bertujuan mempromosi serta meluaskan pemasaran produk hartanah UDA di seluruh negara dan pada masa sama memperkenalkan pakej pembiayaan komprehensif Bank Islam kepada bakal pembeli, sebagai usaha memudahkan pembeli memiliki rumah idaman,” katanya.

Noor Azmi berkata usaha sama itu turut dilihat sebagai langkah permulaan yang berpotensi memperluas kolaborasi melalui program mampan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, selaras dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau berkata UDA komited untuk bersama-sama kementerian memperkasakan usahawan dan berusaha meningkatkan taraf pemilikan hartanah di kawasan bandar terutamanya bumiputera.

Dalam pada itu, Zamree menyifatkan pemeteraian MoU terbabit sebagai pencapaian penting bagi Bank Islam yang membuktikan komitmennya dalam memberi nilai terbaik buat pelanggan selain mengukuhkan kerjasama strategik dan memperluas akses kepada perumahan mampu milik.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Bank Islam, malah turut membuka peluang kepada pelanggan kami untuk mengakses penyelesaian kewangan inovatif yang patuh syariah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya melalui kerjasama itu pelanggan Bank Islam dapat menerima perkhidmatan dan bantuan yang lebih baik untuk mencapai matlamat kewangannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan