AM > BERITA

Larian & Berbasikal PETRONITA 2024 Kumpul RM500,000 Untuk Amal

20/10/2024 12:13 PM

Oleh Afiffitri Muhammad

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Acara Orchid Run & Ride 2024 yang berlangsung di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) hari ini berjaya mengumpul RM500,000 bagi menyokong tiga organisasi bukan keuntungan yang memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran, menyediakan bantuan, dan menawarkan sokongan serta rawatan kepada pesakit kanser.

Presiden Persatuan Isteri dan Wanita Kakitangan Petronas (PETRONITA) Puan Sri Jemilia Md Jelas berkata tiga organisasi penerima manfaat tersebut ialah Majlis Kanser Negara (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Beliau berkata sejak acara ini dimulakan pada 2015, ia telah berjaya mengumpul lebih RM2 juta untuk institusi kesihatan, sistem rawatan, dan penyelidikan perubatan sebagai sebahagian daripada inisiatif amal mereka.

Jemilia juga menegaskan bahawa acara tersebut menarik lebih 8,000 peserta, termasuk kakitangan Petronas, keluarga mereka, dan orang awam, yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori seperti larian santai lima kilometer, larian 12 kilometer, dan berbasikal 12 kilometer. Kategori separuh maraton (21 kilometer) turut diperkenalkan bersempena ulang tahun Petronas yang ke-50.

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati dengan sambutan luar biasa serta sokongan untuk Orchid Run & Ride 2024. Acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga menyediakan platform bagi masyarakat tempatan untuk menyumbang kepada tujuan amal,” katanya kepada Bernama.

Acara tersebut, yang disokong oleh Bank Simpanan Nasional, Café Mesra, Setel, dan Petronas Shop, turut menampilkan pelbagai gerai aktiviti dan persembahan, termasuk pertunjukan oleh artis tempatan, De Fam, serta kemunculan istimewa pemain badminton Malaysia, Kong Zhou Suin dan Kang Khai Xing.

Jemilia berkata acara Orchid Run & Ride, bertemakan 'Meneruskan Legasi Bersama untuk Masa Depan Kita,' turut diadakan di Johor dan Sarawak bersempena ulang tahun ke-50 Petronas, mengumpul lebih RM200,000 untuk organisasi kesihatan.

Sementara itu, Presiden NCSM Datuk Dr. Saunthari Somasundaram menzahirkan penghargaan kepada PETRONITA atas sokongan mereka yang membolehkan NCSM menyediakan penjagaan rumah ke hospital secara bersepadu, termasuk menyediakan lebih 100 perjalanan ulang-alik hospital setiap minggu serta bantuan kewangan penting kepada 100 keluarga kanak-kanak kurang berkemampuan yang menghidap kanser.

“Sumbangan ini akan memberi manfaat besar kepada mereka yang sedang berjuang melawan kanser,” katanya.

Pengurus Besar MAKNA Vemanna Appannah, turut melahirkan rasa syukur kerana dapat menyatukan orang ramai untuk meringankan beban kewangan dan memberikan sokongan serta penjagaan kepada pesakit kanser.

“Selain daripada kos perubatan yang tinggi, tekanan emosi yang dialami pesakit kanser dan keluarga mereka turut menambah kepada cabaran besar yang mereka hadapi setiap hari,” tambahnya.

Puan Sri Datuk Akmal Abdul Salam penaung BCWA berkata persatuan tersebut berhasrat untuk memberi pendidikan dan sokongan kepada lebih ramai wanita Malaysia dalam pengesanan awal dan mengekalkan kualiti hidup yang optimum selepas kanser payudara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan