AM > BERITA

RELA Melangkah Ke Hadapan, 79 Pegawai Rela Terima DKM, SKM

20/10/2024 01:49 PM

MELAKA, 20 Okt (Bernama) -- Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melangkah setapak ke hadapan apabila 79 pegawainya menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Ketua Pengarah RELA Datuk Yahya Sulaiman berkata pensijilan ini membuka lembaran baharu dalam sejarah agensi penguatkuasaan itu, apabila pegawainya kini mempunyai pakar rujuk sendiri menerusi pengiktirafan tersebut.

“Ini merupakan usaha kami dalam meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan RELA melalui latihan (kepada pegawai). Apabila jurulatih-jurulatih ini diiktiraf sebagai pakar rujuk, maka kita akan melatih anggota ke arah yang lebih baik.

“Apa yang menjadi harapan kami di RELA adalah keyakinan dan kepercayaan agensi-agensi yang memerlukan atau mendapatkan perkhidmatan daripada RELA ini, lebih percaya kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Graduan dan Penganugerahan Kecemerlangan 2024 di UTeM di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, RELA berjaya mempersijilkan 79 pegawai menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dan National Occupational Skill Standard (NOSS).

Dari jumlah tersebut, 15 pegawai menerima SKM Tahap 3 dalam bidang Kejurulatihan Taktikal Senjata Api, 15 pegawai dalam bidang Pentadbiran Pejabat, dan 39 pegawai dalam bidang Penyeliaan Perkhidmatan Sekuriti.

Selain itu, 12 pegawai bagi Pensijilan DKM bagi Pensijilan dalam bidang Pengurusan Pentadbiran, 34 pegawai bagi Pensijilan DKM dalam bidang Penngurusan Operasi Sekuriti.

Sebanyak 72 pegawai juga menerima pensijilan Standard Kompetensi Kebangsaan Latihan Tenaga Pengajar (NCS TTT).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan