AM > BERITA

Penduduk Lega Masalah Banjir Bakal Diatasi Dengan Projek Tebatan Banjir

20/10/2024 08:10 PM

KUANTAN, 20 Okt (Bernama) -- Penduduk Pahang yang sering dibelenggu isu banjir, terutamanya ketika Monsun Timur Laut, kini berasa lega dengan inisiatif projek tebatan yang mendapat perhatian dalam Belanjawan 2025.

Fairol Saed Rus, 46, yang merupakan anak jati Temerloh, mengungkapkan penghargaan terhadap langkah kerajaan dalam menangani masalah banjir. Namun, beliau berharap agar kajian terperinci dapat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang projek tebatan dijalankan.

Selain itu, Fairol yang menetap di Kampung Batu Kapor, Mentakab, berpendapat pemilihan kontraktor perlu dilakukan dengan serius agar projek yang dilaksanakan berkualiti dan tidak menimbulkan sebarang kemudaratan kepada penduduk di masa hadapan.

"Terima kasih kepada kerajaan yang peka terhadap masalah banjir ini. Mendapat peruntukan bukanlah sesuatu yang mudah, jadi apabila bajet ini diterima, harapan saya adalah agar pihak yang terlibat melaksanakan projek ini dengan penuh tanggungjawab supaya penduduk dapat menerima manfaatnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2025 yang melibatkan peruntukan RM421 bilion, dan projek tebatan banjir yang berkepentingan tinggi melibatkan sungai di Pahang turut mendapat perhatian.

Penduduk Kampung Mengkarak, Bera, Saiful Aswat Fadzil, 51, berkata beliau telah mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit ketika dilanda banjir buruk pada 2014 dan 2021. Beliau berharap masalah ini dapat diselesaikan segera melalui pelaksanaan projek tebatan banjir yang akan datang.

Saiful, yang menyokong tindakan positif kerajaan, berharap agar projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa mengabaikan aspek kualiti, agar tidak menjejaskan rakyat pada masa hadapan.

"Inisiatif sebegini sememangnya dinantikan oleh mangsa banjir dan kami menghargai usaha kerajaan dalam mengurangkan masalah bencana ini yang sering mengakibatkan penduduk mengalami kerosakan harta benda," katanya yang bertugas sebagai penyelia projek. 

Ketua Pemuda MIC Pahang C. Uganeswaran pula berkata peruntukan itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah banjir yang sering membelenggu penduduk di negeri ini malah perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat.

"Kita alu-alukan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat yang kerap berhadapan dengan banjir yang mana bencana ini sering memberi kesan terhadap emosi, mental dan kewangan penduduk," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan