AM > BERITA

Projek ECRL: 21 Rumah Terlibat Banjir Di Gombak Dipindahkan, Kos Ditanggung MRL - Amirudin

21/10/2024 02:47 PM

SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) -- Penghuni 21 rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak yang terlibat dengan kejadian banjir susulan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dipindahkan sementara ke rumah sewa.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shaari berkata perkara itu dipersetujui hasil mesyuarat khas melibatkan Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan Malaysia Rail Link (MRL) bersama wakil penduduk Sungai Chinchin semalam.

“Mereka yang terlibat akan berpindah sementara ke rumah sewa dan kos terlibat akan ditanggung MRL," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata perkara itu diputuskan susulan peningkatan kekerapan kejadian banjir kilat, pencemaran bunyi, pencemaran udara, habuk dan insiden paip pecah yang meresahkan penduduk Sungai Chinchin dan Gombak Utara.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata untuk jangka panjang, sebuah kolam tadahan akan dibina bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan selain MRL juga bersetuju menanggung kos membaiki kerosakan rumah yang disebabkan letupan bahan serta jalan-jalan utama yang turut terkesan.

Beliau berkata MRL juga mengambil maklum dan bersetuju menghentikan kerja-kerja di kawasan berkenaan pada hari Ahad dan hari-hari tertentu seperti hari berlangsungnya peperiksaan.

"Insya-Allah, pejabat Parlimen Gombak akan memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk penduduk dan MRL dalam memastikan kelancaran proses pembinaan ECRL tanpa mengabaikan kesejahteraan kehidupan penduduk," katanya.

ECRL yang dijangka beroperasi pada 2027 akan menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat dan merentasi 20 stesen di empat negeri meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan