AM > BERITA

Program Semarak Siswa JAKOA Kukuh Hubungan Dengan Mahasiswa Orang Asli 

21/10/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 Oct (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hari ini menganjurkan Program Semarak Siswa JAKOA bagi membina jaringan sokongan dan memudahkan komunikasi antara agensi itu dengan mahasiswa Orang Asli.

Program yang diadakan di sebuah hotel di sini itu dihadiri 100 pelajar Orang Asli yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar ibu negara serta beberapa negeri.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata program yang julung kali dianjurkan itu diadakan atas kesedaran bahawa mahasiswa berkenaan mempunyai peranan penting dalam memartabatkan ilmu pengetahuan bagi pembangunan masyarakat Orang Asli. 

“Majlis ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai cabaran semasa, isu dan masalah yang dihadapi serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan pembangunan mahasiswa Orang Asli.” katanya dalam ucapannya pada perjumpaan itu.

Sapiah berkata program itu dapat membantu pelajar berkenaan merancang serta menyelaras inisiatif baharu dalam meningkatkan pembangunan keperibadian unggul sekali gus memberi semangat serta motivasi untuk mencapai kejayaan.

“Kita juga dapat meningkatkan promosi dan memberi pengetahuan kepada mahasiswa Orang Asli mengenai sumber, peluang dan tawaran masa kini untuk komuniti itu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Sapiah berkata pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada masa akan datang.

“Saya memang nak jadikan Program Semarak Siswa JAKOA ini sebagai program tahunan, dalam skala yang kecil kita akan buat mungkin dalam dua kali setahun iaitu pada awal dan hujung (tahun),’’ katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan