AM > BERITA

Enam Balai Bomba Baharu Kurangkan Lokasi Lewat NART Dari 84 Kepada 78 Lokasi

22/10/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pembinaan enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu dijangka dapat mengurangkan jumlah lokasi lewat masa respons nasional (NART) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daripada 84 kepada 78 lokasi.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata 84 lokasi tersebut telah dikenal pasti sebagai memerlukan pembinaan balai baharu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan JBPM.

“Dengan pembinaan ini, kita dapat mengurangkan 84 lokasi tersebut kepada 78. Fokus seterusnya adalah menyusun semula lokasi respon untuk menentukan balai mana yang akan bertindak bagi lokasi tertentu.

“Penambahan balai akan membantu dalam berkongsi risiko, dan daripada 78 lokasi yang tinggal, jumlah tersebut mungkin dapat dikurangkan atau kekal sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat reruai di International Fire Conference and Exhibition Malaysia 2024, di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.092 bilion kepada JBPM dalam Rolling Plan Kelima 2025. Peruntukan ini meliputi pelaksanaan 70 projek di bawah agensi itu pada tahun hadapan, termasuk pembinaan enam BBP baharu dengan kos sebanyak RM66.8 juta.

Kesemua balai baharu itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Desa Petaling di Kuala Lumpur; BBP Bandar Enstek di Negeri Sembilan; BBP dan Kuarters Engkelili di Sarawak; BBP Dalat, di Sarawak; BBP Sepanggar, di Sabah dan BBP dan Kuarters Kota Kemuning, di Selangor.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pembinaan BBP baharu itu dapat mengurangkan tempoh masa respons NART dari dua jam kepada bawah sejam, sekali gus diharap dapat mengurangkan kerugian akibat insiden kebakaran dan kecelakaan lain. 

“Jumlah kerugian yang direkodkan akibat kebakaran tahun lepas adalah sebanyak RM2.6 bilion, dan angka ini sangat besar. Oleh itu, kami berpendapat bahawa dengan menggunakan sedikit peruntukan untuk membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), kita mungkin dapat mengurangkan nilai kerugian tersebut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan