AM > BERITA

Sejuta Benih Pelbagai Ikan Dan Udang Galah Dilepaskan Ke Sungai Linggi Sehingga September

22/10/2024 05:31 PM

PORT DICKSON, 22 Okt ( Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melepaskan sejuta benih pelbagai spesies hidupan air di 26 perairan umum negeri ini, dengan nilai keseluruhan mencapai RM160,900 hingga bulan September tahun ini.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe berkata 50 peratus daripada benih yang dilepaskan adalah udang galah, manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai spesies ikan air tawar.

"Kita menyasarkan untuk melepaskan sebanyak 1.2 juta benih pelbagai spesies di 16 lokasi baharu yang telah dikenal pasti menjelang akhir tahun ini. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan stok ikan dan udang galah di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di program pelepasan benih udang galah ke Sungai Linggi hari ini.

Dalam program tersebut, sebanyak 150,000 ekor benih udang galah telah dilepaskan ke Sungai Linggi, sebagai sebahagian daripada Program Inventori Perikanan Darat yang berlangsung selama dua hari.

Kasim menekankan bahawa pertambahan stok ikan dan udang galah di perairan umum merupakan program tahunan jabatan untuk memastikan kesinambungan kewujudan stok ikan sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu Kasim berkata, mengikut rekod pelepasan benih udang galah dan ikan oleh pihaknya ke Sungai Linggi dari tahun 2021 hingga 2024, sejumlah 348,600 ekor benih telah dilepaskan, dengan nilai melebihi RM14,000.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak 57,600 ekor benih udang galah telah dilepaskan ke Sungai Linggi, yang dikenali sebagai lokasi popular di kalangan pemancing rekreasi dan nelayan tempatan. Langkah ini diambil untuk meningkatkan lagi stok hidupan air dan menyokong ekosistem perairan di kawasan tersebut.

"Saya juga ingin mengingatkan orang awam yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum. Tindakan ini akan menyebabkan ikan-ikan asli sedia ada di perairan tersebut menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat lebih agresif," katanya.

Menurutnya kaedah menangkap ikan seperti menuba (meracun ikan), mengebom (menggunakan bahan letupan), mengaran (merenjat dengan arus elektrik) dan memanah ikan adalah dilarang. Eksploitasi penangkapan ikan tidak bertanggungjawab ini adalah dilarang di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan