AM > BERITA

Gangguan Perkhidmatan Tren KTMB Akibat Alat Talian Atas Putus

25/10/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan akibat alat talian atas terputus di antara laluan Kepong - Sungai Buloh pada 2.45 petang tadi.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan hal itu telah menyebabkan kelewatan daripada jadual asal berikutan penggunaan satu landasan di laluan berkenaan bagi mengatur pergerakan tren secara bergilir.

“Perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim - Pelabuhan Klang - Tanjung Malim dijangka mengalami kelewatan antara 30 hingga 60 minit.

“Bagi perkhidmatan ETS, tren-tren yang terlibat dijangka mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal,” menurut kenyataan hari ini. 

Menurut KTMB, status terkini bagi tren ETS yang lain akan dimaklumkan melalui hantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan pengumuman di stesen.

Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan tren beroperasi dengan segera.

KTMB turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua penumpang sepanjang tempoh tersebut. 

Sebarang bantuan lanjut, penumpang boleh berhubung dengan petugas stesen dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau hubungi pusat panggilan di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan