AM > BERITA

Kerja Baiki Lubang Benam Di Ayer Keroh Ambil Masa Tiga Hari

16/11/2024 04:29 PM

MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan lubang benam di Jalan Taman Tasik Utama berhadapan Balai Polis Ayer Keroh di sini yang berlaku awal pagi tadi dijangka siap dalam tempoh tiga hari, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Mohamad Salzeli Mokhtar.

Beliau berkata masalah itu berpunca daripada pembetung yang renggang, menyebabkan air mengalir ke ruang itu lalu menjejaskan struktur tebing sehingga mengakibatkan berlakunya lubang benam sebesar dua meter lebar dengan kedalaman dua meter.

"JKR bertindak menghentikan aliran air dan membuat pemeriksaan lanjut supaya tidak ada kawasan lain terjejas dan membetulkan semula struktur pembentung itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee.

Mohamad Salzeli berkata jalan itu ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dengan pemantauan turut dilakukan di setiap jalan raya di negeri ini berikutan cuaca tidak menentu.

Sementara itu, Kerk berkata pihaknya dimaklumkan mengenai insiden berkenaan kira-kira 3 pagi tadi dan terus membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan segera.

“Mujurlah tiada sebarang kenderaan yang melalui jalan berkenaan pada masa kejadian,” katanya dan memohon pihak terlibat dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan pembetung supaya masalah seperti ini tidak berulang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan