Siasatan Kes FashionValet Dijangka Selesai Dua Minggu Lagi - Azam Baki

16/11/2024 04:07 PM

KAJANG, 16 Nov (Bernama) -- Siasatan membabitkan pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) yang terkait kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dijangka selesai dalam masa dua minggu. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beliau telah mengarahkan siasatan kes berkenaan dipercepatkan.

“Saksi yang sudah dirakam keterangan masih lagi 14 orang dan mungkin empat orang saksi tambahan akan turut diambil keterangan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media 2024 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini yang turut disertai lebih 70 pengamal media.

Beliau berkata SPRM juga telah membekukan akaun FashionValet termasuk dari 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple).

Ditanya samada SPRM dapat mengesan penyelewengan dalam siasatan kes berkenaan, beliau berkata ia masih belum boleh dikongsikan dan akan menyerahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskannya. 

Media sebelum ini melaporkan pasangan pengasas FashionValet yang terkait kes kerugian pelaburan Khazanah dan PNB memberi keterangan kepada SPRM setelah suruhanjaya itu mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet. 

Mengenai perkembangan terkini siasatan kartel pengagihan dan perbekalan kontrak baja melibatkan sebuah pertubuhan pula, Azam berkata pihaknya sedang menyiapkan siasatan yang dijangka selesai dalam masa beberapa minggu.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan