KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) dijadual berangkat menyempurnakan pengisytiharan pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM ke-64 pada Sabtu ini.
UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada istiadat konvokesyen itu, universiti berkenaan akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beberapa nama besar dalam bidang klinikal, sains dan bukan sains.
Antara yang akan menerima gelaran tersebut dalam bidang klinikal dan sains ialah pakar kardiologi Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad, pakar penyakit berjangkit Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan pakar kejuruteraan awam Prof Dr Mohd Zamin Jumaat.
Bakal menerima gelaran sama ialah tokoh terkenal dalam bidang kesihatan awam pergigian Prof Datuk Dr Ishak Abdul Razak serta pakar dalam bidang zoologi dan pendidikan tinggi Datuk Dr Mohd Sofian Azirun.
Sementara itu, pakar dalam bidang bukan sains yang turut menerima gelaran berkenaan ialah Prof Dr Hamzah A. Rahman, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, Prof Dr Azizah Hamzah, Prof Datuk Dr Roziah Omar, Dr Choong Yeow Choy, Prof Dr Edmund Terence Gomez dan Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
Menurut kenyataan itu, UM akan meraikan 9,253 graduan dalam istiadat konvokesyen tahun ini yang akan berlangsung dalam 16 sidang bermula Sabtu ini hingga 8 Dis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial