AM > BERITA

Tiada Keperluan Tangguh SPM, KPM Ada Mekanisme Lengkap Tangani Isu Banjir

02/12/2024 03:06 PM

JERTIH, 2 Dis (Bernama) -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekohan Malaysia (STPM) tidak perlu ditangguh atau ditunda, kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai mekanisme yang lengkap dalam menangani isu pelajar terkesan dengan banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata melalui prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung, KPM yakin isu melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan ketika bencana tersebut dapat diuruskan dengan baik. 

“Kita ada pekeliling berkaitan SOP Ops Payung dalam melaksanakan mekanisme berkaitan kesiapsiagaan menangani MTL, yang dihadapi hampir setiap tahun di seluruh negara khususnya di negeri Pantai Timur.

“Jadual telah disusun sebaik-baiknya dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk kemungkinan banjir. Kalau kita buat penangguhan, ia akan menjejaskan banyak perkara lain termasuk kemasukan pelajar ke universiti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di Hulu Besut dekat sini, yang sebelum ini dinaiki air.

Sementara itu Azman berkata KPM akan mengenal pasti jumlah kerosakan di 132 sekolah di seluruh negara yang terjejas dalam banjir kali ini.

Beliau berkata buat masa ini, KPM masih menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri yang akan turun padang ke setiap sekolah terkesan, bagi menilai jumlah kerosakan.

Dalam perkembangan sama Azman berkata setakat ini hanya Sekolah Kebangsaan Tembila di Besut yang masih digenangi air, manakala 28 sekolah lagi di Terengganu yang dilanda banjir sedang melalui kerja-kerja pembersihan pascabanjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan