PETALING JAYA, 14 Dis (Bernama) -- Sempena sambutan Krismas, Taman Tema Sunway menawarkan kemeriahan dan keceriaan Captain Quack Land bersama Kapten Quack dan keluarganya kepada pengunjung di dua lokasi iaitu di Sunway Lagoon di sini dan Sunway Lost World of Tambun di Ipoh, Perak dari 6 Dis hingga 31 Dis, bermula 6.30 petang hingga 11 malam.
Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway Calvin Ho berkata kedua-dua taman tema itu akan bertukar menjadi 'dunia ajaib' yang menampilkan persembahan mempesona, aktiviti mengujakan dan perhiasan indah untuk semua peringkat umur.
"Kami menjemput semua untuk menyambut Krismas di Captain Quack Land dan menyelami dunia menawan Kapten Quack dan Puan Quack serta pasangan kembar mereka Gogo dan Bebe, yang diinspirasikan daripada maskot kesayangan Sunway Lagoon. Di bawah sorotan lampu gemerlapan, dengan suasana meriah dan mengujakan, Captain Quack Land menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
"Sambutan Krismas istimewa akan diadakan pada 24 dan 25 Dis di kedua-dua taman tema itu, yang diakhiri dengan pertunjukan Bunga Api Muzikal Terbesar di Dunia," katanya kepada media selepas pelancaran Captain Quack’s Christmas Housewarming Party di sini malam tadi.
Beliau turut berkongsi mengenai tarikan baharu Captain's Theatre, di mana pengunjung boleh menikmati pertunjukan menarik bertemakan lautan dan kapal selam.
"Pengunjung juga boleh merakam #AwesomeMoments bersama Kapten Quack yang penuh 'karisma' di Lady's Avenue di Sunway Lagoon. Turut dipamerkan 100 patung Kapten Quack yang unik, masing-masing menonjolkan gaya, personaliti dan daya tarikan tersendiri.
"Pengunjung juga boleh menikmati hidangan kegemaran tempatan dan sajian antarabangsa di Captain's Diner dan menjamu selera sambil menikmati suasana hangat Hari Krismas di Captain's Pier.
"Bagi peminat aktiviti mencabar, Sunway Lagoon menawarkan aktiviti memanjat dinding batu dan keseronokan mengumpul permainan unik daripada mesin kapsul Gashapon di Sunway Lagoon," katanya.
Ho berkata Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun akan membawa pengunjung ke dunia kegembiraan pada setiap Jumaat hingga Ahad dengan menawarkan hadiah menarik dan kejutan.
"Di Sunway Lagoon, turut diadakan sesi hadiah istimewa iaitu Santa Claus akan berjalan-jalan untuk memberikan hadiah hebat daripada Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd, Footer Malaysia Berhad, Cell Fusion C by Sa Sa Malaysia, Sometime • By Asian Designers, Derma Health's SkinLabs dan The Body Shop.
"Pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti interaktif, termasuk Peraduan Nestle Snap dan Menang dengan patung Kapten Quack. Suasana perayaan diteruskan dengan pengalaman santapan bertema di Captain Quack Wishmas di Captain's Diner selain anda boleh menulis hajat anda dan menggantungnya di pokok Krismas serta menebus ais krim Nestle anda di gerai CFL di Captain's Diner," tambahnya.
Sementara itu, di Sunway Lost World of Tambun, beliau berkata pengunjung boleh memenangi hadiah daripada Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd, Cell Fusion C by Sa Sa Malaysia dan Sometime • By Asian Designers apabila bertemu Santa Claus di Hotspring Stage.
"Mereka yang berminat dijemput berkunjung dan meraikan waktu terindah dalam setahun di Captain Quack Land. Dapatkan tiket anda sekarang melalui laman sesawang https://sunwaylagoon.com/christmas-celebration/ dan https://sunwaylostworldoftambun.com/christmas-celebration/," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial