BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM > BERITA

Utamakan Keselamatan Dan Perpaduan Pada Musim Perayaan Ini - Lee Lam Thye

22/12/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 DIS (Bernama) -- Orang ramai diminta mengutamakan keselamatan jalan raya dan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Alliance For A Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye berkata keselamatan jalan raya termasuk mematuhi peraturan dan undang-undang trafik, memastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan jauh, elak memandu laju dan melulu, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan berehat semasa pemanduan jarak jauh untuk kekal berwaspada.

Bagi keselamatan rumah, beliau berkata orang ramai mesti memeriksa semula untuk memastikan semua peralatan elektrik dan lampu dimatikan sebelum meninggalkan rumah.

“(Langkah keselamatan lain) termasuk melindungi rumah anda dengan mengunci pintu dan tingkap serta memaklumkan kepada jiran boleh dipercayai jika anda keluar dan berhati-hati apabila bermain mercun serta barangan perayaan lain untuk mengelakkan kemalangan, terutama melibatkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata musim perayaan juga menyaksikan peningkatan perjalanan kerana ramai orang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi rakan serta keluarga.

Beliau berkata statistik menunjukkan bahawa kemalangan sering meningkat dalam tempoh ini, membawa kepada tragedi yang boleh dielakkan, dan dengan mengambil langkah berjaga-jaga kita dapat memastikan musim perayaan kekal sebagai masa yang mengembirakan dan bukannya masa dicemari oleh tragedi.

Sementara itu, Lee berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, perayaan bukan sekadar masa untuk individu tetapi juga peluang mengeratkan ikatan yang menyatukan rakyat.

“Rumah terbuka, makan bersama dan kegembiraan kolektif menyatukan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat, mengingatkan kita tentang nilai hormat menghormati, saling memahami dan keharmonian.

“Semasa kita meraikan bersama, marilah kita meningkatkan komitmen untuk mewujudkan komuniti  berkembang melalui keterangkuman dan perpaduan iaitu perbezaan diraikan dan keharmonian mengatasi segala-galanya,” katanya.

Lee mengingatkan agar semua pihak mengambil peluang untuk membuka rumah dan hati mereka kepada rakan-rakan daripada pelbagai kaum serta agama, bagi memupuk persefahaman lebih mendalam serta semangat muhibah.

Beliau juga berkata semua orang mesti mengajar generasi muda mengenai kepentingan menerima kepelbagaian dan meraikan warisan bersama kita, serta menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk membincangkan nilai-nilai toleransi, kebaikan dan perpaduan dalam membina sebuah negara yang aman dan makmur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan