Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 28 Dis (Bernama) -- Mendedahkan generasi muda kepada keunikan rumah tradisional Malaysia, seorang usahawan kraf dari Johor, Mohd Amin Afuan, 58, berkongsi ilmu pembuatan replika rumah tradisional melalui platform media sosial TikTok.
Beliau yang menghasilkan replika terdiri daripada Rumah Tradisional Melayu, Rumah Limas Johor, Rumah Terengganu, Rumah Minangkabau dan Rumah Asal Peneroka Felda tidak lokek berkongsi ilmu melalui akaun TikToknya @warisanklasikamin.
Mohd Amin menegaskan pentingnya generasi muda diberi pendedahan mengenai seni pembuatan replika rumah tradisional yang bukan sahaja unik tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan.
“Saya mahu generasi sekarang, terutamanya golongan muda, menyedari keindahan seni bina rumah tradisional yang mungkin mereka tidak pernah lihat sebelum ini.
“Perkongsian video di TikTok diharap dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Festival Kraf Johor dan Festival Kota Selatan 2024 di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.
Mohd Amin yang pernah menjadi jurujual kereta Perodua dengan pengalaman lebih 15 tahun, berkata minat mendalam terhadap seni bina rumah tradisional telah mendorongnya menceburi bidang pembuatan replika rumah tradisional, yang kini memasuki tahun pertama.
Beliau juga mampu menghasilkan replika berdasarkan kehendak pelanggan.
Menurut Mohd Amin, minat tersebut didorong oleh asas pengetahuan bertukang yang diperolehnya semasa mengikuti aliran seni perusahaan ketika zaman persekolahan.
“Alhamdulillah, dengan bakat kurniaan Allah dan sedikit pengetahuan yang ada, minat serta usaha yang pada mulanya sekadar mencuba, akhirnya berjaya dan berjalan lancar. Bermula dengan rumah berbentuk sederhana hingga ke rekaan yang lebih mencabar dan terperinci,” kata bapa kepada lima anak ini.
Beliau berkata tempoh menyiapkan replika buatan tangan tanpa menggunakan alat mesin memakan masa antara tiga hingga empat bulan dan kebanyakan bahan yang digunakan adalah kayu hutan dari Indonesia.
“Semua replika ini dihasilkan sepenuhnya secara manual, hanya menggunakan pisau, kikir, dan gergaji tanpa bantuan mesin. Oleh itu, ia memerlukan masa yang lama. Kadangkala, untuk menghasilkan bahagian tertentu seperti kisi-kisi rumah sahaja boleh mengambil masa sehari penuh, ditambah lagi dengan keperluan berehat dan mencari inspirasi,” katanya.
“Selain itu, seni pembuatan replika seperti ini mempunyai peminat tersendiri. Bagi mereka yang memahami bidang ini, mereka juga tahu bahawa nilai jualan replika buatan tangan boleh mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.
Mohd Amin turut berkongsi bahawa beliau mampu menghasilkan replika hanya berpandukan gambar tanpa perlu membuat lakaran menggunakan komputer.
“Saya tidak pandai membuat lakaran atau menggunakan komputer, jadi saya hanya bergantung pada gambar untuk memahami bentuk dan struktur rumah tersebut.
“Ukuran tinggi, lebar, dan keluasan rumah pula ditentukan berdasarkan kiraan dan logik saya sendiri,” jelasnya yang berasal dari Felda Pasir Raja, Kulai.
Beliau berharap seni pembuatan replika ini dapat menarik minat lebih ramai orang, di samping mengimpikan setiap masyarakat Melayu memiliki replika rumah tradisional mereka sendiri untuk mengimbau memori dan kenangan lama di kampung.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi beliau di talian 019-7148357 atau menerusi TikTok @warisanklasikamin dan Facebook, Warisan Klasik Amin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial