AM > BERITA

Sabak Bernam Penyumbang Tanah Wakaf Tertinggi Di Selangor

30/12/2024 02:56 PM

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Daerah Sabak Bernam merekodkan pendaftaran tanah wakaf tertinggi di Selangor dengan jumlah 14.2 hektar tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Anuar Hamzah Tohar berkata ia adalah sebahagian daripada keseluruhan 28.8 hektar tanah wakaf didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) daripada sembilan daerah di negeri itu. 

“Ini menunjukkan masyarakat mulai sedar tentang kepentingan berwakaf dan sebahagian besar tanah-tanah ini digunakan untuk manfaat umat Islam dan masyarakat secara keseluruhan.

Secara umumnya hartanah wakaf dengan nilai keseluruhan sebanyak RM36.2 juta ini dimanfaatkan sebaiknya sama ada disewakan atau dibangunkan untuk pertanian dan lain-lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anuar Hamzah berkata PWS telah mengagihkan wakaf fisabilillah sebanyak RM2.4 juta kepada 69 institusi tahun ini, meningkat daripada RM1.3 juta yang diagihkan tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tujuh buah masjid menerima dana wakaf berjumlah RM329,682, 12 surau pula RM430,786 dan 45 institusi pendidikan sebanyak RM1.5 juta.

“Sebenarnya kita menerima 150 permohonan tetapi selepas dipertimbangkan, hanya 69 institusi diberi kelulusan, namun untuk tahun depan, kita akan tingkatkan jumlah peruntukan kepada RM3 juta,” katanya.

Sementara itu, Anuar Hamzah menasihatkan orang ramai, agensi atau institusi yang berhasrat membuat kutipan wakaf di Selangor supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada PWS bagi mengelak sumbangan disalahgunakan. 

Beliau berkata mana-mana pihak boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM1,000 sekiranya menjalankan kutipan wakaf tanpa kebenaran.

"Kita tidak mahu kutipan wakaf ini disalahguna individu atau pihak tertentu dan ia jelas merupakan satu kesalahan dari sudut perundangan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan