MELAKA, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Melaka mengemukakan 12 tapak cadangan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Program Residensi Rakyat (PRR) di negeri itu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata ia membabitkan 2,394 unit rumah di kawasan seluas 34.48 hektar.
“Tapak yang dikenal pasti adalah di Lendu membabitkan 160 unit rumah, Machap (600 unit), Tun Kudu (300 unit), Pondok Batang (130 unit), Nyalas (50 unit) dan Paya Rumput (280 unit).
"Lokasi lain ialah Lesung Batu (320 unit), Asahan (160 unit), Masjid Baru (50 unit), Sungai Udang (120 unit), Durian Tunggal (80 unit) dan Sungai Rambai (144 unit),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) sama ada projek PRR akan dilaksanakan di Melaka khususnya di kawasan DUN Sungai Rambai.
Menjawab soalan asal dikemukakan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai inisiatif kerajaan negeri dalam menggalakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar, Rais berkata dasar kuota bagi pemilikan kediaman itu telah diperkenalkan.
Beliau berkata pemaju perlu menyediakan sebanyak 50 peratus daripada pembangunan melebihi empat hektar bagi kawasan rumah bertanah atau dua hektar bagi rumah bertingkat dengan pembinaan rumah mampu milik.
“Dasar ini terpakai kepada pemaju perumahan di seluruh Melaka kecuali kawasan Melaka Straits Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang lebih fokus kepada pembangunan komersial.
“Ia membabitkan pembinaan Rumah Bahagia berharga RM70,000, Rumah Sejahtera (RM120,000), Rumah Impian A (RM180,000) dan Rumah Impian B (RM250,000),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial