AM > BERITA

Gencatan Senjata: Bantuan Kemanusiaan Perlu Disalurkan Segera Ke Gaza

16/01/2025 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza adalah langkah kritikal ke arah menamatkan konflik yang dahsyat selama lebih 15 bulan, membolehkan pihak terlibat menyalurkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan serta menyatukan semula tebusan dengan ahli keluarga mereka.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata keperluan mendesak adalah memastikan akses kemanusiaan penuh kepada semua orang awam yang memerlukan bantuan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

“Ia termasuk membuka akses untuk penyaluran barangan bantuan asas dan petugas kemanusiaan, serta memastikan laluan selamat dan boleh dipercayai ke kawasan terjejas.

“Fokus kolektif kami kini perlu beralih ke arah usaha-usaha kemanusiaan yang kritikal ini. Skala krisis ini memerlukan tindak balas pantas dan menyeluruh bagi mengurangkan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata semua pihak perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan melindungi orang awam dan infrastruktur awam, memastikan keselamatan petugas bantuan, akses tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan di mana sahaja mereka berada serta menghapuskan semua halangan kepada kemasukan bantuan asas.

Dalam kenyataan sama, MERCY Malaysia turut menekankan komitmen teguh mereka terhadap usaha bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Kami akan terus menyalurkan bantuan asas, memantau impak kemanusiaan, dan meneroka setiap saluran untuk membantu golongan memerlukan. Biarpun gencatan senjata ini adalah satu peristiwa penting, ia hanyalah permulaan kepada perjalanan panjang untuk membina semula kehidupan dan mengembalikan maruah.

“Harapan kini agar perjanjian ini akan bertahan dan berkembang menjadi penyelesaian yang membawa keamanan berkekalan, bantuan kemanusiaan dan harapan baharu untuk rakyat Gaza.

“Gencatan senjata ini bukan sekadar untuk menghentikan keganasan, ia adalah seruan kepada masyarakat global untuk bersatu membantu rakyat yang menderita dan bekerjasama ke arah masa depan yang mampan untuk Gaza,” katanya.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan pada petang Rabu kejayaan perantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan