SEPANG, 2 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diperluaskan selepas melihat data sedia ada yang diperoleh daripada operasi di 19 pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti 141 pintu masuk negara merangkumi sempadan darat, laut dan udara.
“Jadi, kita akan atur keutamaan. Begitulah formula yang akan kita buat dalam menentukan keutamaan AKPS beroperasi di pintu masuk mana, termasuk Sabah dan Sarawak mengikut urutan keutamaan.
“Mengikut perancangan awal, kecenderungan kami adalah kalau pintu masuk udara ini adalah di lapangan terbang antarabangsa dahulu. Yang paling sibuk selain di sini (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) adalah Pulau Pinang diikuti Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran AKPS, di sini hari ini.
Pelancaran AKPS disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata penubuhan AKPS tidak melibatkan perjawatan baharu, sebaliknya pegawai dan kakitangan agensi itu diserap daripada agensi kerajaan lain.
Beliau berkata sebanyak 12,000 kakitangan dijangka memperkukuhkan AKPS apabila ia beroperasi secara penuh kelak.
Beliau berkata setakat ini, AKPS dianggotai lebih 6,000 pegawai dan kakitangan di seluruh negara termasuk 1,090 pegawai yang diserap daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Idealnya nanti kami akan ada sehingga 12,000 (perjawatan) bila beraksi penuh tapi buat masa sekarang pengisiannya belum sampai tahap itu,” katanya.
Selain JKDM, turut diserap ke dalam AKPS adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Beliau berkata penubuhan AKPS juga tidak bertindih dengan fungsi dan peranan agensi penguat kuasa lain yang menjaga sempadan negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“APMM jaga 590,000 kilometer sempadan perairan, itu tugas hakiki tapi belum merapati sempadan darat, laut dan udara. Di laut sana kegiatan menangkap ikan secara haram, penyeludupan barang, senjata dan dadah itu (di bawah bidang kuasa) APMM.
“Manakala AKPS pula akan memantau pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara,” katanya.
Saifuddin Nasution dalam pada itu berkata selaku agensi utama ke-11 di bawah KDN, AKPS perlu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan antaranya memastikan sistem penyampaian lebih cekap, memastikan pergerakan pengembara dan barangan lancar, peningkatan hasil cukai dan meningkatkan integriti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial