AM > BERITA

KPM Cadang Kurangkan Tempoh Pelaksanaan Peperiksaan STAM Ulangan

04/02/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Tempoh menunggu bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Ulangan akan dipendekkan kurang daripada setahun selewat-lewatnya pada 2027, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum mengenai isu calon perlu menunggu setahun untuk menduduki peperiksaan itu sekali lagi bagi mata pelajaran yang terlibat.

“Cadangan pelaksanaan STAM Ulangan ini diharapkan mampu meningkatkan motivasi calon untuk menduduki peperiksaan ulangan bagi memperbaiki keputusan.

“… seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara, khususnya di Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang ingin tahu pertimbangan KPM untuk mengkaji semula tempoh peperiksaan STAM Ulangan.

Bagi memastikan keberkesanan dan kebolehlaksanaan peperiksaan STAM Ulangan, Wong berkata KPM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Universiti Al-azhar Mesir agar perkara berkaitan dasar dan pengoperasian dapat diperinci, sekali gus memberi manfaat besar khususnya kepada calon. 

“Di samping itu, KPM juga perlu meneliti nasihat perundangan berkaitan dengan pelaksanaan STAM Ulangan tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata syarat pensijilan STAM yang mewajibkan pelajar lulus semua 10 mata pelajaran sekurang-kurangnya pangkat maqbul (lulus) adalah tertakluk kepada peraturan dan ketetapan oleh Universiti Al-azhar Mesir berdasarkan memorandum persefahaman sedia ada. 

“Calon yang tidak memenuhi syarat penganugerahan sijil berpeluang untuk memperbaiki keputusan mereka bagi memenuhi pensijilan atau memperbaiki pangkat mata pelajaran dalam tempoh tiga tahun,” katanya. 

Wong berkata bilangan calon berdaftar peperiksaan STAM turut menunjukkan trend peningkatan iaitu 4,507 pelajar pada tahun lepas berbanding 4,058 pelajar pada 2023. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan