AM > BERITA

Ramanan Zahir Terima Kasih Kepada Anwar Selesai Isu Perumahan Komuniti India

17/02/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha menyelesaikan isu perumahan komuniti India di Bestari Jaya, Tanjung Karang selepas 27 tahun tertangguh.

Beliau yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata Perdana Menteri cukup komited dan prihatin dalam menangani isu-isu berkaitan dengan komuniti India di negara ini.

“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sering memberikan perhatian  terhadap isu-isu berkaitan semua kaum termasuk India.  

“Saya mewakili masyarakat India di negara ini ingin merakamkan ‘Nandri’ (terima kasih) kepada Perdana Menteri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berjaya menyesaikan isu perumahan ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri KPKT Nga Kor Ming yang membantu merealisasikan impian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata Perdana Menteri sering mendapatkan maklumat terkini berhubung isu komuniti India dan segala inisiatif yang dilaksanakan semua agensi-agensi yang berkaitan untuk komuniti itu.

Beliau berkata kerajaan melalui KPKT bersetuju dengan cadangan pembangunan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya dengan anggaran kos RM75 juta melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta. 

PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya merupakan kediaman jenis teres satu tingkat dalam kategori jualan terus dan mempunyai 245 unit rumah yang dilengkapi dengan kemudahan seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti dan taman permainan kanak-kanak.

Rumah itu juga bakal didiami oleh 245 keluarga pekerja ladang daripada lima ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata pembinaan perumahan itu menunjukkan kerajaan MADANI mengutamakan kesejahteraan rakyat walaupun baru 26 bulan memerintah.

“Impian penduduk menjadi satu kenyataan hasil kerjasama erat antara KPKT, kerajaan Selangor dan BCB yang bakal menjadi contoh untuk projek seumpama itu di masa depan,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan