BUTTERWORTH, 23 Feb (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mampu menjimatkan kira-kira RM90 juta setahun dengan beroperasinya Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) yang menawarkan penyelesaian baharu dalam pengurusan sisa loji rawatan air (LRA).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata SDDP dibina dengan kos RM20 juta merupakan yang pertama di negara ini dan loji itu khusus untuk mengendalikan sisa daripada operasi LRA Sungai Dua, iaitu LRA terpenting di Pulau Pinang.
Beliau berkata sebelum ini PBAPP perlu menanggung kos tambahan melebihi RM90 juta setahun untuk melupuskan 460 tan metrik sisa LRA Sungai Dua yang belum diproses dengan anggaran kos pelupusan RM550 setiap tan metrik.
"SDDP di LRA Sungai Dua menawarkan penyelesaian hijau serta pintar kepada perkhidmatan bekalan air yang telah berlarutan selama 16 tahun dengan sisa-sisa berkenaan dilupuskan di tapak pelupusan yang diiktiraf bagi memastikan tiada kesan buruk kepada alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan SDDP di LRA Sungai Dua, di sini hari ini.
Chow berkata operasi SDDP yang dikendalikan Alam Aliran Kualiti Sdn Bhd (AAK) menerusi penyeliaan PBAPP bukan sahaja dapat mengurangkan kos pelupusan tetapi memastikan pematuhan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pelupusan sisa terjadual.
Beliau berkata sisa LRA merupakan efluen perindustrian yang terhasil daripada proses rawatan air melibatkan campuran tanah, lumpur, pasir, tanah liat, bahan organik dan sejumlah kecil aluminium residu, dengan lumpur yang diasingkan selepas proses terakhir di SDDP akan dihantar ke kilang syarikat AAK di Bukit Minyak untuk dijadikan bata pembinaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata dengan kapasiti mengendalikan sehingga 500 tan metrik sisa LRA setiap hari, fasiliti itu bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan operasi rawatan air di LRA Sungai Dua, yang merupakan loji terbesar di Pulau Pinang.
Beliau berkata LRA Sungai Dua menghasilkan 1,021 juta liter air terawat setiap hari, membekalkan air kepada lebih 465,000 pengguna.
“Namun, proses rawatan air ini menghasilkan 450 tan sisa LRA setiap hari, yang kini akan diproses di SDDP dan dengan kos pelupusan yang jauh lebih rendah, SDDP mampu menurunkan kos pengurusan sisa sebanyak 74 peratus, menjadikan pengurusan lebih efektif dan mesra alam," katanya.
Pathamanathan berkata keupayaan SDDP untuk mengendalikan sisa dalam kapasiti yang lebih besar memberi ruang kepada LRA Sungai Dua untuk meningkatkan pengeluaran air terawat pada masa hadapan hingga 1,342 juta liter sehari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial