AM > BERITA

Batik Air Tawar Penerbangan Tambang Tetap Ke Sabah, Sarawak Sempena Aidilfitri

06/03/2025 09:44 PM

SUBANG, 6 Mac (Bernama) -- Batik Air menawarkan tiket penerbangan tambang tetap pada kadar RM319 ke Sarawak dan RM379 ke Sabah sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan menyediakan pilihan perjalanan yang adil, telus dan berpatutan semasa kemuncak waktu perayaan.

“Usaha ini mencerminkan pemahaman yang mendalam berkenaan perkara yang benar-benar menjadi perhatian penumpang dan ini merupakan langkah terpuji dalam menjadikan perjalanan perayaan lebih mudah diakses oleh semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Batik Air di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Loke berkata syarikat penerbangan itu juga telah menambah sehingga 140 kekerapan penerbangan ke destinasi utama di dalam negara termasuk Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Sibu, Sandakan, Tawau dan banyak lagi.

“Tambahan penerbangan ini akan memberikan lebih fleksibiliti dan kemudahan, memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan.

“Dengan peluasan ini, Batik Air menyediakan lebih 22,000 tempat duduk tambahan sepanjang tempoh kemuncak perjalanan, sekali gus meningkatkan akses dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar bagi semua penumpang,” katanya.

Loke berkata rangkaian Batik Air yang semakin berkembang dan komitmennya yang berterusan terhadap pengalaman penumpang telah mengukuhkan peranannya dalam landskap penerbangan Malaysia.

“Pertumbuhan syarikat penerbangan ini adalah bukti kepada dedikasi dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan dan saya menantikan lebih banyak inisiatif yang mengutamakan keperluan penumpang.

“Kami menggalakkan syarikat penerbangan untuk terus mengamalkan strategi penetapan harga yang adil dan telus yang meningkatkan kesalinghubungan dalam Malaysia dan luar negara,” katanya.

--BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan