AM > BERITA

Kain Benang Johor Koleksi Qalbu Dilancarkan

08/03/2025 06:09 PM

JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah melancarkan koleksi terbaharu Kain Benang Johor Koleksi Qalbu bagi mempromosi pemakaian Kain Benang Johor dalam kalangan masyarakat, khususnya penjawat awam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri K.Raven Kumar berkata matlamat penghasilan Kain Benang Johor Koleksi Qalbu edisi terhad ini bukan sahaja agar dapat memartabatkan Warisan Tekstil Johor, malah memastikan keunikan Kain Benang Johor dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Ini merupakan koleksi baharu dalam pasaran untuk jualan dalam usaha kita menggalakkan orang ramai menggunakan Kain Benang Johor, khususnya penjawat awam untuk dipakai setiap hari Jumaat kerana ia menunjukkan identiti Johor.

“... kalau dulu harganya agak tinggi, tetapi sekarang harga berpatutan, jadi kita lebih galakkan (bukan paksaan atau mandatori).. untuk kita tunjukan identiti kita sebagai orang Johor atau lebih dikenali sebagai ‘Bangsa Johor',” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kain Benang Johor Koleksi Qalbu dan Program Kolaborasi Kain Benang Johor di sini semalam, yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Sementara itu Raven Kumar berkata kerajaan negeri turut berhasrat untuk mempromosi Kain Benang Johor Koleksi Qalbu di luar negeri ini, namun akan memberi fokus dan melihat permintaan di negeri ini terlebih dahulu. 

“Sebanyak 17 rekaan kain benang Johor koleksi Qalbu dihasilkan, dua daripadanya telah habis ditempah sebelum pelancaran rasmi.

“Buat permulaan 2,500 helaian kain benang Johor koleksi Qalbu dihasilkan dengan harga diskaun RM262 sepanjang bulan Ramadan dan Syawal berbanding harga asal RM350. Jumlah itu akan ditingkatkan mengikut permintaan

“Orang ramai boleh mendapatkan kain benang Johor ke YWJ Galeri Tenun Johor atau ke The Johor Collection, yang merupakan ejen jualan utama produk ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan