ISKANDAR PUTERI, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor akan mempertimbangkan cadangan untuk menerapkan kempen nilai murni dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata modul pendidikan dari negara Jepun itu boleh dijadikan panduan bagi pelaksanaan kempen nilai murni berkenaan.
“Kita juga akan memberi penekanan terhadap Modul Karakter Murid Johor (KrMJ) di SRBJ yang bertujuan membentuk murid seimbang, berakhlak dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi negeri Johor.
“Karakter Murid Johor merujuk kepada ciri-ciri, nilai dan sikap yang ingin diterapkan dalam diri setiap murid agar mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam peribadi, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat," katanya dalam penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata cadangan untuk menambah jumlah SRBJ memerlukan perancangan yang rapi, kajian terperinci, penglibatan pelbagai pemegang taruh serta pemantauan berkala dan pelaksanaan hasil yang dapat dibuktikan.
“SRBJ yang beroperasi pada 17 Feb lepas akan dipantau dan dinilai selama tempoh satu tahun secara menyeluruh dan berkala agar objektif dan sasaran tercapai.
“Hasil penilaian itu akan menjadi asas untuk pertimbangan dan penstrukturan sebelum program ini diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di seluruh Johor,” katanya.
Pada pembukaan sidang DUN Jumaat lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa gembira kerana cetusan idea baginda untuk mewujudkan SRBJ dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan berharap ia menjadi model kepada pendekatan pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif.
Baginda juga berharap kerajaan Persekutuan turut menyertai usaha kerajaan Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi melalui pelaksanaan SRBJ.
Inisiatif SRBJ yang bermula pada Februari tahun ini melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial