Oleh Nur Syahidayah Mahasan
LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Menghadapi ancaman Maritim yang kini semakin kompleks dan mencabar, Kapal Diraja (KD) Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus teguh belayar merentas samudera.
Biarpun berbeza peranan dan spesifikasi, dua aset pertahanan negara ini tetap berkongsi satu misi iaitu menjadi nadi utama dalam memastikan keselamatan dan memelihara kedaulatan perairan negara daripada ancaman luar.
KD Lekiu, dengan keupayaan tempur yang tinggi, berfungsi sebagai benteng pertahanan utama negara di laut lepas manakala KM Tun Fatimah memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim dan pemantauan di kawasan pesisir dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Menyifatkan KD Lekiu sebagai kapal perang nombor satu negara, Pegawai Memerintahnya Kepten Mahamad Nazer Darus menggambarkan kemampuan kapal perang itu dalam melaksanakan peperangan empat dimensi.
“Pertama, peperangan bawah permukaan (laut), kami mampu menangkis dan mencari serta memusnahkan kapal selam. Kedua, peperangan paras permukaan (laut) iaitu kemampuan untuk bertempur dengan kapal permukaan lain.
“Ketiga, kita mampu untuk menangkis serangan daripada udara dengan misil antiudara bagi memusnahkan kapal terbang musuh, seterusnya keempat peperangan elektronik iaitu kita ada langkah sokongan elektronik dan juga peperangan elektronik untuk menangkis serangan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan media ke KD Lekiu sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) di Resort World Langkawi, di sini yang turut dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
Lebih menakjubkan, KD Lekiu yang berusia 26 tahun ini pernah menjalani pelayaran selama 100 hari dari Lumut ke Hawaii, kemudian kembali ke Lumut meliputi jarak sejauh 12,730 batu nautika dan melaksanakan pelbagai latihan termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.
Pelayaran tersebut diketuai Mahamad Nazer semasa penyertaan Eksesais ‘Rim of the Pacific’ (RIMPAC) 2024, latihan maritim multinasional terbesar di dunia yang diadakan di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.
Kegagahan KD Lekiu lebih terserlah di bawah kepimpinan Mahamad Nazer sejak Dis 2023 apabila dinobatkan sebagai Pemenang Piala Agong sempena sambutan Hari TLDM ke-91 pada 2025 dan pengiktirafan itu dikurniakan atas kejayaan serta kecemerlangan operasi kapal itu sepanjang tahun.
Sementara itu, tanggungjawab mempertahankan wilayah perairan Malaysia turut dikongsi kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama milik APMM, KM Tun Fatimah yang dinamakan sempena permaisuri Melaka yang terkenal dengan keberanian dan kepimpinannya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kapal dengan panjang 83 meter dan lebar 13.7 meter itu yang digelar ‘Srikandi Lautan’, berupaya mencapai kelajuan maksimum 21 knot dan beroperasi di laut selama 21 hari tanpa perlu mengisi semula bekalan.
Dibina berdasarkan reka bentuk Damen 1800, beliau berkata KM Tun Fatimah turut dilengkapi dengan sebuah Meriam Aselsan SMASH 30 mm, senjata ringan seperti ‘machine gun’ 12.7 mm dan 7.62 mm, tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.
“Kapal ini mempunyai kemampuan untuk mengendalikan helikopter bersaiz sederhana dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), dua buah ‘Rigid Hull Inflatable Boat’ (RHIB) dan ‘Fast Interceptor Craft’, radar X dan S Band untuk rondaan kawasan luas.
“Aset pertahanan negara ini juga berperanan sebagai kapal induk kepada bot peronda APMM yang ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan perairan negara, khususnya di Laut China Selatan yang agak kerap diganggu gugat,” katanya.
Mohd Zawawi berkata penempatan KM Tun Fatimah di kawasan strategik seperti Beting Patinggi Ali bertujuan menangani isu keselamatan sempadan perairan negara yang dihadiri kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal penyelidikan China di ZEE Malaysia di Laut China Selatan.
“Kehadiran ini telah menimbulkan kebimbangan berterusan terhadap kedaulatan maritim Malaysia dan keselamatan sumber asli negara selain perlu mengurangkan pencerobohan bot nelayan asing dari Indonesia dan Myanmar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial