Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Siapa sangka, burung kecil yang terbang bebas di udara boleh menjadi ancaman besar kepada aset pertahanan negara, sehingga mendatangkan kerugian ratusan juta ringgit.
Di sebalik kedamaian di ruang udara, ada risiko tersembunyi dihadapi juruterbang, terutamanya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila burung tersedut ke dalam enjin pesawat semasa berlepas dan mendarat, sekali gus menyebabkan kerosakan serius dan operasi tergendala.
Namun, hasil inovasi anak tempatan mencipta sistem dikenali sebagai Air Intake Screen Modification (AIS-Mod), masalah itu kini berjaya diatasi dan sistem itu kini menjadi pelindung senyap kepada pesawat pejuang negara, sekali gus menjimatkan jutaan ringgit serta yang lebih penting melindungi nyawa wira negara.
Dalam temubual ekslusif bersama Bernama pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), Ketua Flait Avionik Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA) Mejar Mohd Khairil Ashraf Maton berkata sejak 2016 hingga tahun lepas, sebanyak 38 insiden kerosakan enjin direkodkan akibat objek asing.
“Daripada jumlah itu 19 kes berpunca daripada burung, mengakibatkan kerugian hampir RM700 juta. Melihat keadaan ini, saya bersama pasukan 12 Skuadron memulakan kajian pembangunan AIS-Mod sejak 2021, khusus untuk pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM bagi meningkatkan sistem perlindungan pengambilan udara.
“Projek ini berkonsepkan low cost high impact dengan kami memperbaiki kecekapan skrin penapis udara sedia ada, serta menyesuaikan masa pembukaan skrin semasa berlepas dan mendarat- dua fasa kritikal yang berisiko tinggi boleh mengakibatkan perlanggaran burung paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata ujian lapangan yang dilakukan sebelum ini, berjaya membuktikan keberkesanannya apabila dua kejadian yang berpotensi menyebabkan kerosakan enjin berjaya dielakkan, satu pencapaian besar yang menterjemah nilai inovasi tempatan dalam bentuk nyata.
Mohd Khairil Ashraf berkata kerosakan pada enjin pesawat bukan sahaja melibatkan kos baik pulih yang tinggi, termasuk menghantar enjin ke pengilang, tetapi turut menjejaskan kesiapsiagaan operasi kerana tempoh pembaikan yang lama.
Malah, beliau berkata dua kes kerosakan enjin Sukhoi akibat burung dan objek asing sebelum ini menelan kos sebanyak RM46 juta, satu angka yang cukup besar hanya untuk dua enjin.
Sebelum ini, empat prototaip AIS-Mod telah dihasilkan bermula dengan Beta 1, namun ia tidak menepati piawaian keselamatan, manakala Beta 2 dan 3 pula terlalu besar untuk dipasang secara menyeluruh dan hasil penyelidikan berterusan, edisi keempat akhirnya berjaya memenuhi semua keperluan teknikal dan keselamatan.
“Kini semua pesawat Sukhoi yang terlibat dalam LIMA’25 telah dilengkapi AIS-Mod, dan Alhamdulillah tiada lagi kejadian kerosakan akibat objek asing berlaku,” katanya yang menambah kawasan seperti Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, Kedah yang padat dengan burung turut menunjukkan keberkesanan inovasi itu.
AIS-Mod yang meraih tempat kedua dalam Anugerah Inovasi TUDM 2025, kini sedang dalam proses pengeluaran tambahan sebanyak empat unit lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 10 unit yang akan melindungi barisan pesawat pejuang negara daripada ancaman kecil yang membawa risiko besar.
AIS-Mod adalah antara tujuh inovasi yang dipamerkan di Pavilion TUDM sempena LIMA’25, namun terdapat dua projek utama lain yang turut menjadi tumpuan iaitu Revolution Advanced Innovation Network (RAIN) dan Radar Warning Receiver Blind Sensing (RWR B-Sensing).
Projek RAIN dibangunkan khusus untuk helikopter EC725 milik 5 Skuadron dan 10 Skuadron, yang sebelum ini hanya dilengkapi kamera infra merah tanpa sistem rakaman.
Pegawai Staf 2 Inovasi Mejar Muhammad Syafiq Syahmi Muhammad Suhaimi berkata projek RAIN, membolehkan rakaman secara langsung dihantar ke pusat operasi semasa penerbangan dijalankan, sekali gus memberi impak besar kepada operasi TUDM dan tahap keselamatan pasukan.
“RAIN boleh buat perakaman dan pada masa yang sama ketika pesawat sedand terbang, ia boleh menghantar siar langsung kepada pusat operasi di bawah. Jadi, juruterbang boleh fokus kepada penerbangan tanpa memikirkan tugas lain seperti apa yang perlu dilaksanakan. Jadi, ini meringankan beban juruterbang apabila melaksanakan tugas,” katanya.
Justeru, sistem itu membolehkan pusat operasi membuat penilaian segera, manakala rakaman juga boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah sekiranya berlaku pencerobohan ruang udara negara atau pelanggaran undang-undang maritim.
Inovasi RAIN turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tiga pingat emas di Korea menewaskan 57 negara lain, selain menerima Anugerah DNA Inovasi Sektor Awam.
Satu lagi inovasi membanggakan ialah RWR B-Sensing untuk pesawat A400M, bagi menggantikan sistem pengesan ancaman asal, memerlukan proses baik pulih di Sepanyol yang mengambil masa hampir dua tahun dengan kos perbelanjaan yang sangat tinggi.
“RWR ialah sistem yang mengesan ancaman ataupun electronic signature yang sangat delicate dan ada penyalutan khas. Kita tidak boleh baiki itu secara dalaman, jadi apa yang pasukan laksanakan ialah kita fabricate in-house dengan menggunakan kepakaran daripada TUDM untuk menghasilkan one-to-one design yang sama seperti RWR yang asal tetapi tanpa sensor.
“Jadi, bila kita lakukan penerbangan misi yang tidak memerlukan fungsi RWR tersebut, kita boleh tanggalkannya, jaganya dan pasangkan semula RWR B-Sensing dan pada masa yang sama kalau memang ia akan rosak kita ada keupayaan untuk melaksanakan pembaikan komposit di pangkalan udara Subang dan Butterworth,” katanya.
Terbaharu, sistem tersebut telah digunakan dalam misi menyelamat rakyat Gaza, Palestin di Mesir apabila pesawat yang sepatutnya tidak boleh diterbangkan selama dua tahun, berjaya diaktifkan dalam masa singkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial