KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Grab Malaysia (Grab) melancarkan kempen 'Kerana ASEAN' bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan peranan pentingnya dalam memupuk kerjasama serta integrasi serantau.
Grab dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen itu adalah sebahagian daripada inisiatif #GrabBersamaASEAN yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Kementerian Luar.
Menurut Grab, inisiatif itu menyokong prinsip keterangkuman dan kemampanan yang menjadi tema kepimpinan Malaysia dalam ASEAN selain memperkukuh komitmen terhadap prinsip alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).
Menerusi kenyataan sama, Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata melalui inisiatif itu, Grab Malaysia berhasrat menterjemahkan keutamaan serantau kepada manfaat nyata yang bermakna buat rakyat Malaysia.
“Ini sejajar dengan misi kami untuk memperkasakan komuniti yang kami layani menerusi teknologi yang mudah diakses dan inklusif, memacu masa depan yang lebih terangkum dan mampan. Kami berharap dapat mengukuhkan integrasi ASEAN dan memastikan manfaatnya disampaikan kepada komuniti di seluruh rantau ini,” katanya.
Grab juga menyertai pameran khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menampilkan teknologi digital inklusif seperti AI Merchant, Assistant dan AI Driver Companion untuk membantu rakan niaga serta pemandu dengan panduan masa nyata dan cadangan bersasar.
Grab turut berkongsi pencapaian ESG tahun 2024 termasuk mencipta pendapatan berjumlah USD12.8 bilion kepada rakan pemandu dan peniaga di platformnya, dengan lebih 99 peratus pemandu mencapai atau melebihi kadar gaji minimum setiap bulan.
Selain itu, lebih 135,000 individu dalam kalangan wanita dan orang kurang upaya turut menjana pendapatan melalui platform tersebut.
Dalam aspek kelestarian, Grab menempatkan 18 mesin layan diri balikan yang dikendalikan AI di seluruh Lembah Klang bersama rakan strategik yang mengalihkan hampir 10 tan sisa plastik.
Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan juga melaksanakan inisiatif botol susu isi semula menerusi kerjasama Jaya Grocer dan Farm Fresh yang boleh mengurangkan lebih tujuh tan kertas pakai buang serta menjual lebih 220,000 liter susu dalam botol kaca boleh guna semula.
Kempen 'Kerana ASEAN' dijadual berlangsung sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai aktiviti dalam dan luar talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial