Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Visi Komuniti ASEAN 2045: Merintis Haluan Baharu Demi Perpaduan Dan Inovasi Serantau

26/05/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) menandakan perubahan ketara dalam strategi pembangunan rantau ini, yang akan membentuk hala tuju ASEAN untuk dua dekad akan datang.

Berteraskan pencapaian terdahulu, ACV 2045 yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, menetapkan aspirasi jangka panjang ASEAN untuk membina sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif, dinamik, makmur dan berteraskan rakyat.

Inisiatif ini dirangka bagi memastikan ASEAN kekal sebagai pemacu utama kepada keamanan, kestabilan dan pertumbuhan, di samping terus menerajui usaha serantau dan multilateralisme dalam landskap global yang kian pesat berubah.

Visi tersebut akan menggantikan dokumen “ASEAN 2025: Forging Ahead Together” yang diterima pakai pada 2015, dan telah membimbing pembangunan Komuniti ASEAN sepanjang sedekad lalu.

Visi ini mengukuhkan semula komitmen ASEAN terhadap integrasi serantau melalui tiga tonggak utama iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).

Di bawah tonggak Politik-Keselamatan, ACV 2045 menegaskan komitmen kukuh ASEAN untuk menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan menerusi mekanisme yang dipimpin oleh ASEAN sendiri, memperkukuh peranan dalam hal ehwal serantau dan global, serta menyokong sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Ad Banner

Visi ini turut mengulangi iltizam ASEAN terhadap sebuah Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, serta komitmen kepada penyelesaian secara aman bagi sebarang pertikaian mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Dari segi ekonomi, visi ini membayangkan ASEAN sebagai kuasa besar ekonomi global dan pasaran tunggal yang lancar dan bersepadu, didorong oleh kelestarian, inovasi dan tadbir urus yang baik.

Ia turut menekankan kepentingan ketahanan kewangan, pertumbuhan inklusif serta pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemacu utama pembangunan serantau.

Dalam bidang sosio-budaya, ACV 2045 merangka sebuah Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, dengan kualiti hidup yang dipertingkat melalui pendidikan transformatif, pekerjaan yang bermaruah, liputan kesihatan sejagat, keselamatan manusia dan pembentukan identiti serantau yang dikongsi bersama.

Visi ini beriltizam memperkasakan suara wanita, memelihara warisan budaya, serta memanfaatkan sukan sebagai wahana memupuk keamanan dan perpaduan.

Ia juga mengangkat agenda ketersambungan, ke arah sebuah rantau yang disokong oleh infrastruktur lestari, sistem digital yang saling beroperasi, logistik yang tangkas dan hubungan antara rakyat yang diperkukuh.

ACV 2045 menekankan pembangunan bandar pintar dan lestari yang didorong oleh inovasi serta teknologi demi pertumbuhan inklusif dan pemeliharaan alam sekitar.

Menyedari persekitaran global yang kian dinamik dan kompleks, ASEAN turut menegaskan keperluan untuk memperkukuh kapasiti institusi serta meningkatkan kepekaan dalam menghadapi cabaran serantau dan global.

Melalui komitmen padu untuk menterjemahkan visi ini kepada tindakan yang nyata, negara-negara anggota ASEAN berikrar melaksanakan sepenuhnya segala komitmen yang digariskan dalam visi dan pelan strategiknya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan